B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pandemik, kabotaj, firma pseudo-Malaysia & dana antara gelora diharungi industri maritim

Pandemik, kabotaj, firma pseudo-Malaysia & dana antara gelora diharungi industri maritim

20 Dis 2020

Perdagangan maritim global dijangka merosot 4.1 peratus tahun ini susulan krisis kesihatan pandemik COVID-19 yang bukan hanya menjejaskan rantaian bekalan malah rangkaian perkapalan dan pelabuhan, sekali gus mengakibatkan penyusutan jumlah kargo.

Industri maritim turut bergelut dalam menangani impak tidak langsung daripada dasar perlindungan perdagangan dan kendiri yang semakin meluas, menurut Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) menerusi laporan bulan lepas.

Di peringkat tempatan, pengendali pelabuhan Malaysia, Westport Holdings Bhd menjelaskan jumlah kontena berkurangan empat peratus bagi sembilan bulan pertama 2020 berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Ia mengendalikan jumlah kontena yang lebih rendah iaitu sebanyak 7.73 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) selama sembilan bulan pertama 2020 kerana jumlah kontena dan permintaan terjejas ekoran pelbagai bentuk sekatan pergerakan yang dikenakan di seluruh dunia untuk mengekang penularan COVID-19.

Menurut Persatuan Pengusaha-pengusaha Perkapalan Malaysia (SAM), jumlah kontena yang dikendalikan bagi 2020 dijangka berkurangan sebanyak 15 peratus daripada 25 juta TEU pada 2019 berikutan aktiviti pemindahan ke kapal dan jumlah kontena yang lebih rendah, disebabkan gangguan dalam rantaian bekalan.

Sektor maritim Malaysia juga menyaksikan perdebatan hangat mengenai dasar kabotaj di Parlimen pada akhir November, yang membawa kepada perubahan dasar Malaysia dan menimbulkan sedikit keyakinan industri.

Pada 24 Nov, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberitahu Dewan Rakyat semasa menggulung perbahasan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 mengenai keputusannya untuk memansuhkan pengecualian dasar kabotaj sekali gus membolehkan kapal-kapal berdaftar dengan undang-undang maritim negara asing menjalankan kerja baik pulih kabel dasar laut di perairan Malaysia.

Pemansuhan yang dicadangkan itu mendorong bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, yang memberikan pengecualian itu sebelum ini, bangkit bertanyakan rasional Wee dalam memutuskan perkara itu.

Ahli-ahli Parlimen dari blok pembangkang dan syarikat teknologi utama juga mempersoalkan pendirian kerajaan dalam mengalu-alukan pelaburan daripada syarikat antarabangsa serta aspirasi Malaysia sebagai hab pusat data.

Bagaimanapun, Persatuan Pemilik-pemilik Kapal Malaysia; Persatuan Pemilik-pemilik Kapal Sokongan Minyak Malaysia (MOSVA) dan Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM) menyambut baik keputusan membatalkan pengecualian dasar kabotaj tersebut.

Mereka berpendapat sudah sampai masanya syarikat Malaysia diberikan peluang dan dipertimbangkan sebelum kementerian menawarkan tender bagi sebarang kerja-kerja berkaitan kepada syarikat asing.

Presiden MOSVA, Mohamed Safwan Othman berkata persatuan itu menyokong keputusan kerajaan dan menekankan lebih banyak langkah seharusnya diambil untuk menggiatkan kembali dan melindungi ekonomi tempatan yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata negara-negara lain juga mengambil langkah yang sama, dengan Amerika Syarikat, Brazil dan bahkan Indonesia mempunyai dasar kabotaj yang lebih ketat berbanding Malaysia.

Selain kabotaj, wujud isu lain yang lebih mendesak, dengan banyak syarikat yang sebenarnya bukan syarikat Malaysia tetapi beroperasi di negara ini, katanya.

“Syarikat ini menggunakan proksi untuk menjadikan kapal dan syarikat mereka seolah-olah milik tempatan tetapi sebenarnya adalah milikan asing, terutama jiran selatan kita,” katanya.

Ahli MOSVA memiliki kira-kira 300 kapal. Terdapat penambahan sekitar 100 kapal di perairan Malaysia yang dimiliki oleh bukan ahli MOSVA termasuk milik syarikat pseudo-Malaysia.

“Ini bermakna nilai sewa carter adalah kira-kira RM1 bilion setiap tahun dan ini sebenarnya merugikan ekonomi kita kerana banyak wang akan mengalir keluar dari negara ini.

“Susulan kontroversi mengenai kapal pemasangan kabel milik asing yang bekerja di perairan Malaysia baru-baru ini sudah sampai masanya dasar kabotaj dikuatkuasakan dengan ketat dan amalan ini dipraktikkan, jika sebaliknya, imbangan pembayaran akan semakin buruk,” katanya.

Beliau menjelaskan segmen kapal sokongan minyak (OSV) di Malaysia mengalami prestasi sangat teruk ekoran harga minyak mentah yang rendah selain peningkatan kes pandemik COVID-19, dengan beberapa kelewatan operasi dan pembatalan projek.

Kebanyakan kontrak yang menyokong pengeluaran masih seperti biasa dan tiada rundingan semula yang penting bagi kontrak-kontrak dari firma utama termasuk Petronas manakala jumlah projek, termasuk penggerudian, turut ditangguhkan, katanya.

Berikutan gangguan yang melanda itu, kira-kira 30 peratus kumpulan kapal milik ahli MOSVA tidak beroperasi untuk memberi perkhidmatan.

Industri maritim juga tidak dipinggirkan dalam Belanjawan 2021 apabila sejumlah RM3.7 bilion disediakan di bawah Skim Pembangunan Maritim dan Logistik yang dilanjutkan sehingga 31 Dis, 2023 bagi menghidupkan dan mencergaskan kembali industri perkapalan.

“Ia tepat pada masanya. Ahli MOSVA pasti akan berusaha menggunakan dana ini yang akan diuruskan oleh Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) dan kami telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan BPMB mengenai hal ini,” katanya.

Industri pembuatan kapal dan pembaikan kapal Malaysia juga masih belum pulih daripada kemelesetan ekonomi dunia malah pandemik COVID-19 memburukkan lagi kelembapan itu yang mengakibatkan projek-projek besar dikecilkan khususnya dalam sektor huluan, menurut Pemangku Presiden AMIM, Soo Jee Main.

Kesan penuh COVID-19 ke atas industri ini akan dapat dilihat selain impak tidak langsung terhadap sektor pembuatan kapal dan pembaikan, malah negara-negara tertentu turut memperketatkan dasar kabotaj masing-masing, ujarnya.

Langkah kerajaan menyediakan dana di bawah Skim Pembangunan Maritim dan Logistik juga sesuatu yang menggembirakan industri, namun dasar berkaitan untuk menyokong industri limbungan kapal tempatan juga perlu dikaji semula.

“Pelancaran semula dana itu tanpa memperincikan bahawa perlu digunakan untuk membiayai kapal yang dibina/dibuat oleh limbungan Malaysia ini sebaliknya tidak akan membantu ekonomi Malaysia dan industri pembuatan kapal tempatan jika pemilik kapal membeli kapal yang dibiayai ini dari negara luar.

“Sekiranya dana bersubsidi ini digunakan oleh pemilik kapal untuk membina kapal mereka di Malaysia, maka sumbangan terhadap ekonomi tempatan akan menjadi amat besar dan limpahannya akan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar serta Pendapatan Negara Kasar,” ujarnya.

Soo berpandangan seandainya pemilik kapal membeli kapal daripada pembuatan luar negara, maka tiada sumbangan kepada ekonomi Malaysia malah aliran keluar pertukaran asing juga berlaku.

Justeru, AMIM telah berbincang dengan BPMB isu terbabit ketika pertama kali dana itu diperkenalkan namun malangnya, pihak bank itu memaklumkan tiada terma daripada pihak Kementerian Kewangan bagi pembinaan kapal di Malaysia.

Sekali gus, mengakibatkan semua dana bersubsidi itu digunakan untuk membeli kapal luar negara, khususnya dari China susulan BPMB tidak menganggapnya sebagai mandat untuk menyokong industri pembuatan kapal domestik, katanya.

Meskipun mengharungi badai yang begitu besar sepanjang 2020 namun prospek industri maritim menjelangnya 2021 tetap baik ditambah dengan pelbagai laporan kejayaan penemuan vaksin COVID-19.

Sebagai penggiat dalam industri ini, Mohamed Safwan menjangkakan tender besar bagi kapal baharu untuk Petronas akan dikeluarkan pada suku pertama 2021.

Selain itu harga minyak yang berada dalam aliran agak konsisten di atas paras US$45 (US$4.06=RM1) sejak beberapa bulan lepas juga menunjukkan petanda yang amat menggalakkan dan industri bersedia bagi peningkatan aktiviti dalam segmen ini tahun depan, ujarnya.

Unjuran Mohamed Safwan turut seiring dengan prospek yang diletakkan UNCTAD iaitu perdagangan maritim akan berkembang dan seterusnya kembali ke dalam gerbang positif untuk meningkat 4.8 peratus berasaskan pemulihan keluaran ekonomi dunia.

Industri maritim seharusnya berani melayari perubahan dan menyesuai dengan masa kini di samping memastikan semua peserta bersedia sebelum menyusuri era pasca-pandemik-COVID-19, menurut pandangan UNCTAD.

Organisasi yang dianggotai oleh 195 negara itu juga berpendapat memandangkan perbincangan mengenai pemulihan terus berkembang, ia semakin jelas bahawa gangguan disebabkan pandemik akan memberi kesan berpanjangan ke atas sektor perkapalan dan perdagangan.

Gangguan tersebut mungkin mendorong perubahan ketara dalam landskap operasi keseluruhan, selain peningkatan kemampanan dan pembangunan daya tahan yang amat penting, menurutnya.

Source: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon