B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Empat indikator pemulihan ekonomi negara

Empat indikator pemulihan ekonomi negara

21 Dis 2020

Pemulihan ekonomi negara dapat diukur melalui empat indikator utama ketika ini iaitu sektor peruncitan, penginapan hotel, harga minyak sawit mentah dan harga getah SMR 20, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata kesemua indikator itu menjadi penanda aras pemulihan ekonomi negara bagi tahun depan dengan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 6.5 peratus dan 7.5 peratus.

“Sektor peruncitan mula menunjukan pemulihan secara beransur-ansur manakala kadar penginapan hotel di seluruh negara meningkat kepada 24.3 peratus selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan dan aktiviti rentas negeri dibenarkan.

“Ketiga, harga minyak sawit mentah kembali mencecah pada paras melebihi RM3,000 (RM3,422) per tan pada November lepas dan keempat, harga getah SMR 20 meningkat kepada paras tertinggi kepada RM6.33 sekilogram pada November lepas,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Teo Eng Tee pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Teo meminta penjelasan mengenai indikator utama dalam memacu pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menurut Arthur, kesan negatif pandemik COVID-19 ke atas pertumbuhan ekonomi negara sepanjang tahun ini adalah bersifat sementara dan dijangka pulih pada tahun depan.

Mengenai usaha kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara bagi tempoh jangka panjang, beliau berkata penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kini berada pada peringkat akhir.

“Strategi yang akan dilaksanakan dalam RMK-12 mengambil kira pelbagai usaha pemulihan dan pemacuan semula ekonomi yang terkesan akibat pandemik COVID-19 selain menangani isu struktur ekonomi bagi memastikan pertumbuhan lebih inklusif serta mapan,” kata Arthur.

Beliau percaya kesemua strategi dan langkah yang diambil kerajaan bukan sahaja mampu memulihkan ekonomi negara malah dapat memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon