Pahang raih pelaburan komited RM800 juta bagi Industri O&G, tenaga - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pahang raih pelaburan komited RM800 juta bagi Industri O&G, tenaga

Pahang raih pelaburan komited RM800 juta bagi Industri O&G, tenaga

27 Jul 2023

Industri minyak dan gas (O&G) serta tenaga di Pahang telah memperoleh pelaburan komited sebanyak RM800 juta bagi tempoh separuh pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata kerajaan negeri telah menyasarkan RM1 bilion bagi pelaburan baharu untuk industri tersebut.

“Kita berharap sektor O&G boleh menjadi komponen lebih besar dalam kerangka atau jumlah pelaburan baharu ke Pahang…kekuatan negeri dalam industri itu adalah petrokimia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jerayawara Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Pantai Timur 2023 di sini hari ini.

Acara itu turut dihadiri oleh Presiden dan Ketua Pengawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) Mohd Yazid Ja’afar.

Selain itu, mengulas perkembangan Kawasan Perindustrian Tanjung Agas (TAIA) di Pekan yang dibangunkan sebagai pusat industri maritim, O&G sejak 2011, Mohamad Nizar berkata kerajaan Pahang sedang aktif untuk memasarkan serta menarik pelabur ke kawasan berkenaan.

Menurutnya, usaha itu digerakkan menerusi TGA Solutions Sdn Bhd (TGA) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dengan pelabur dari China dan Eropah difahamkan berminat melabur di situ.

Mohamad Nizar berkata walaupun TAIA menumpukan industri O&G, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan kelulusan dalam sektor lain bagi menarik lebih ramai pelabur.

“Kita juga perlu bekerjasama dengan agensi lain seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dari segi tambahan insentif bagi menarik lebih ramai pelabur seperti memberi elaun cukai pelaburan,” katanya.

Malah, katanya, kerajaan negeri turut berurusan dengan syarikat-syarikat perunding percukaian profesional bagi mengenal pasti tawaran lain yang dapat menjadikan Pahang sebagai destinasi pelaburan menarik. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon