B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia sasar muncul 30 ekonomi terbesar dunia

Malaysia sasar muncul 30 ekonomi terbesar dunia

27 Jul 2023

Malaysia menyasarkan untuk berada dalam senarai 30 ekonomi terbesar dunia dalam jangka masa sederhana, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia antara sasaran utama dalam penstrukturan semula ekonomi negara menerusi kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang dilancarkan hari ini.

Perdana Menteri yakin Malaysia mampu mencapai sasaran besar itu dengan meneladani negara yang pernah berdepan kejatuhan, namun tangkas dan bangkit semula ke hadapan.

“Mahu atau tidak, kita mesti menjadi jaguh ekonomi serantau. Kita perlu punyai minda global dan mengutama pengantarabangsaan ekonomi.

“Dengan demikian, kita mampu mencapai sasaran ditetapkan untuk muncul sebagai 30 ekonomi terbesar di dunia dalam jangka masa sederhana.

“Jika kita hanya berpuas hati dengan keadaan sekarang, ekonomi akan terus mencatat pertumbuhan antara empat hingga lima peratus, namun jika kita berusaha gigih dan melaksana pembaharuan, kita mampu mencapai 5.5 peratus, malah saya percaya adalah tidak mustahil untuk kita menghasilkan pertumbuhan enam peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan barisan menteri yang lain.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, untuk merealisasikan sasaran besar berkenaan, negara perlu membentuk integrasi ekonomi yang lebih besar dengan negara jiran lebih-lebih lagi dunia sedang berdepan kekangan rantaian bekalan.

Susulan itu, katanya, negara perlu melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing tinggi untuk menembusi pasaran rantau ASEAN.

“Usaha kita sekarang perlu melangkaui perjanjian perdagangan bebas. Misalnya melalui diplomasi perdagangan dan pengaturan strategik yang boleh mengembangkan integrasi pasaran bilateral dan multilateral serta memudahkan pergerakan barang, modal, modal insan dan perkongsian teknologi dengan negara jiran.

“Selama ini, kita tertumpu kepada aktiviti sektor utama seperti elektrikal dan elektronik (E&E) serta kimia secara keseluruhan. Melangkah ke depan, misi baharu perindustrian di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) akan menumpukan aktiviti dengan nilai tambah tinggi atau kecanggihan ekonomi.

“Misalnya, kluster di Pulau Pinang perlu menumpukan kepada aktiviti E&E bernilai tinggi seperti Integrated Circuit (IC) design. Sektor kimia pula, perusahaan petrokimia dan oleokimia perlu memberi tumpuan kepada aktiviti pembuatan kimia khusus.

“Kerajaan akan memperkenalkan insentif cukai berasaskan pencapaian bagi mendukung dan memberi ganjaran kepada syarikat yang menumpukan aktiviti berdampak tinggi,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat juga akan menjadi induk kepada beberapa lagi dasar khusus yang akan diumumkan kelak termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.

Beliau berkata, Ekonomi MADANI menetapkan sasaran jangka pendek yang sudah digerakkan bagi menangani isu segera yang mengesankan rakyat.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon