B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ohgi Technological akan labur RM140 juta di Kelantan

Ohgi Technological akan labur RM140 juta di Kelantan

04 Mac 2023

Ohgi Technological Creation Co (Ohgi) dari Jepun akan melabur RM140 juta di Kelantan untuk membina fasiliti ‘Pengkarbonan Plastik Sisa dan Sistem Pengurangan Volum’.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Datuk Dr Izani Husin berkata fasiliti yang bakal dilaksanakan itu akan menghasilkan karbon aktif.

Katanya bahan berkenaan akan digunakan sebagai bahan utama untuk menghasilkan produk seperti plat karbon, elektrod yang akan digunakan dalam kapasitor, penapis pelbagai gred, penebat haba dan pelbagai lagi produk yang menggunakan karbon sebagai bahan asas.

“Ohgi yang berpangkalan di Tokyo, Jepun menumpukan kepada pembangunan produk berasaskan karbon yang digunakan dalam bidang perubatan, makanan, pembinaan dan sebagainya.

“Ohgi juga banyak terlibat dengan penyelidikan dan pembangunan bersama Ryukoku University bagi membangunkan pelbagai produk baharu yang berasaskan karbon. Setakat ini, pihak Ohgi memegang sebanyak 181 paten bagi pelbagai jenis produk dan rekaan,” katanya menerusi kenyataan media, di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Dr Izani menerima kunjungan delegasi Ohgi Technological Creation Co ( Ohgi ) diwakili oleh Pengasasnya Takehiko Ohki, Pengasas Bersama Ryuichiro Kuboshima dan syarikat bersekutunya J Global Trading Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Dr Izani turut berkata pihak Ohgi juga berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak Pengurusan Sisa Pepejal Mubaarakan Sdn Bhd (PSPM), yang merupakan syarikat bersekutu Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) bagi menaik taraf sistem pengurusan tapak pelupusan di Tanah Merah, Pasir Mas dan Machang.

“Malah dengan beberapa komponen projek yang dicadangkan, ia dijangka dapat membantu memberi penyelesaian kepada masalah di tapak-tapak pelupusan yang terlibat selain mewujudkan peluang pekerjaan, pemindahan teknologi kepada rakyat tempatan dan menambah pendapatan kepada kerajaan negeri.

“Selain itu, pihak Ohgi turut berhasrat untuk melakukan kolaborasi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan bersama universiti-universiti tempatan dan mencipta produk-produk baharu berasaskan karbon yang lebih sesuai untuk kegunaan industri tempatan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon