B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia dilihat sebagai gerbang perniagaan Australia memasuki ASEAN – MABC

Malaysia dilihat sebagai gerbang perniagaan Australia memasuki ASEAN – MABC

03 Mac 2023

Malaysia memainkan peranan penting dalam Asean dan sewajarnya dilihat sebagai gerbang masuk perniagaan Australia untuk mendapatkan lebih 600 juta pengguna yang tinggal di rantau ini, kata Majlis Perniagaan Malaysia Australia (MABC).

Majlis itu dalam satu kenyataan hari ini berkata Australia dan Malaysia mempunyai hubungan ekonomi yang telah lama terjalin dengan perdagangan dua hala mereka mencecah lebih 15 bilion dolar Australia (1 dolar Australia=RM3.02) pada 2021, yang mana Australia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia serta destinasi eksport ketujuh terpenting.

Lawatan Menteri Luar dan Perdagangan Australia Penny Wong baru-baru ini telah menyumbang kepada kemajuan ekosistem perniagaan yang telah wujud antara Malaysia serta Australia.

MABC akan terus menyokong usaha menteri berkenaan dalam memajukan hubungan perdagangan dan ekonomi yang signifikan termasuk hubungan erat antara kedua-dua negara.

Mesyuarat peringkat tinggi yang berlangsung membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan bukti hubungan saling menghormati antara Malaysia dan Australia.

Majlis itu berkata mesyuarat yang diadakan bersama Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli adalah sama penting.

“Majlis Perniagaan Malaysia Australia menghargai pengesahan semula keutamaan bersama kami di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif dan janji yang diwakili kami yang meliputi perniagaan di kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (Mafta), yang telah memudahkan peningkatan perdagangan, selain Australia disenaraikan sebagai salah satu daripada lima rakan dagang utama Malaysia.

Katanya lagi, Mafta adalah perjanjian komprehensif dengan standard tertinggi yang seterusnya mengintegrasikan ekonomi Australia ke dalam ekonomi Malaysia yang berkembang pesat.

Perjanjian itu mula berkuat kuasa pada 1 Jan 2013 dan berdasarkan faedah yang sudah dinikmati oleh perniagaan Australia dan Malaysia daripada Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-Australia-New Zealand (AANZFTA).

MABC ditubuhkan pada 1986 sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada ahli-ahlinya yang berpangkalan di Malaysia dan Australia.

Disokong oleh penaung bersamanya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia serta Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, MABC memainkan peranan penting dalam memajukan perdagangan dan pelaburan dua hala.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon