B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Nilai pelaburan asing Selangor dianggar RM12 bilion pada 2022

Nilai pelaburan asing Selangor dianggar RM12 bilion pada 2022

17 Feb 2023

Kerajaan Selangor menjangkakan nilai pelaburan asing negeri itu pada 2022 dianggarkan sekitar RM12 bilion, lebih tinggi daripada sasaran awalnya iaitu RM10 bilion.

Exco Pelaburan, Perdagangan, Industri dan Industri Kecil dan Sederhana Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, ia disebabkan nilai sasaran awal telah pun berjaya dicapai lebih awal pada September tahun lepas.

Justeru, beliau berkata, pihaknya sedang mengkaji keseluruhan data kemasukan pelaburan pada tahun 2022 sebelum menetapkan sasaran pelaburan baharu di Selangor pada tahun ini.

“Tahun ini kita dijangka berdepan banyak cabaran kerana ramai pakar ekonomi berkata negara akan masuk ke dalam ‘musim sejuk’ dalam pembangunan ekonomi, bagaimanapun ada yang berpandangan ia hanyalah luaran, dalamannya tidak begitu.

“Kalau kita lihat kepada situasi pembangunan geopolitik dan ekonomi di seluruh dunia, kita dapati masih ada keadaan ketidaktentuan dalam kadar faedah di Amerika Syarikat. Jika ia terus naik, sudah tentu ia akan mendatangkan bebanan, katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah COMPASS @ Kota Seri Langat (COMPASS @KSL) di sini pada Jumaat.

Chang Khim berkata, kerajaan Selangor melihat situasi ekonomi berkenaan sebagai satu cabaran dan mengambil langkah berani menerusi pelaksanaan Rancangan Selangor Satu (RS1) untuk membantu memacu pembangunan ekonomi di negeri tersebut.

Tambah beliau, RS1 meliputi tiga projek utama pembangunan iaitu projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) yang melibatkan dua daerah iaitu Kuala Langat dan Sepang, projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan Selangor Maritime Gateway (SMG).

“Tapi kita menghadapi sedikit gangguan kerana dalam tempoh dua bulan lagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan dibubarkan dan banyak usaha tidak dapat dijalankan sepanjang tempoh pembubaran tersebut namun agensi pelaburan negeri, Invest Selangor akan terus beroperasi seperti biasa,” katanya.

Terdahulu, pada majlis tersebut beliau merasmikan ke Majlis Pecah Tanah COMPASS @KSL, ia adalah hasil usahasama antara Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi anak syarikatnya MIDF Property Berhad; KWEST Sdn Bhd dan AREA Group of Companies (AREA) untuk membina sebuah tapak industri hijau dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Projek pembinaan hab logistik berkeluasan 89.03 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1.2 bilion itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Tapak Perindustrian dan Logistik COMPASS seluas 48.56 hektar yang memuatkan gudang bina suai dan lot pembuatan seluas 130,000 hingga 500,000 kaki persegi.

COMPASS SME Precint seluas 23.88 hektar pula merupakan tapak yang dilengkapi kilang dan gudang siap dibina (ready built) dengan pelbagai saiz bermula daripada 3,600 hingga 50,000 kaki persegi.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon