B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Nilai pasaran farmaseutikal halal dijangka meningkat

Nilai pasaran farmaseutikal halal dijangka meningkat

09 Sep 2021

Nilai pasaran farmaseutikal halal global dijangka meningkat kepada AS$105 bilion (AS$1=RM4.15) pada 2024 daripada AS$94 bilion pada 2019, khususnya dalam segmen penjagaan pencegahan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, susulan pandemik Covid-19 membawa tumpuan kepada usaha meningkatkan tahap kesihatan dan keimunan, Malaysia boleh menjangkakan lonjakan pertumbuhan sektor itu menerusi kerjasama awam-swasta bagi pelancaran ubat-ubatan dan peralatan perubatan baharu yang diperakui halal.

“Wujud tradisi Islam yang menggalakkan pencarian pengetahuan menerusi usaha dalam penyelidikan dan pembangunan bagi ubat-ubatan dan farmaseutikal, khususnya dalam bidang vaksin.

“Justeru, kita sewajarnya menyaksikan pertumbuhan luar biasa dalam sektor ini, bukan hanya di negara-negara Islam, malah negara lain di dunia,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2021 yang diadakan secara maya pada Khamis.

Beliau berkata, mengenai pensijilan halal, terdapat keperluan mendadak bagi penyeragaman syarat pensijilan jika Malaysia mahu memperoleh akses pasaran global yang homogen.

Mohamed Azmin berkata, banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana tidak menyepadu sepenuhnya dengan rantaian bekalan halal global disebabkan ketiadaan pensijilan halal berikutan kapasiti mereka yang tidak mencukupi untuk mendapatkan pensijilan, kepakaran, rangkaian dan pendanaan.

“Masalah ini perlu ditangani secara menyeluruh supaya perniagaan yang sah boleh memperoleh laluan yang menawarkan keberkesanan kos untuk ke pasaran halal global,” katanya.

Setakat ini, lebih 8,000 syarikat di Malaysia telah diperakui halal dan 20 peratus daripada jumlah itu adalah pengeksport, menyumbang eksport bernilai AS$10.4 bilion pada tahun lepas.

Beliau berkata, dalam menangani isu penyeragaman tersebut, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bekerjasama dengan 84 badan pensijilan halal dari 46 negara untuk penyeragaman standard sekali gus memastikan pematuhan syariah.

Selain itu, beliau berkata, Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) yang diadakan secara maya buat kali pertama oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berjaya berlangsung pada 1 April hingga 1 September 2021.

Ini menunjukkan meskipun sekatan dan kawalan pergerakan dilaksanakan, terdapat banyak peluang untuk peserta industri halal dari seluruh dunia kekal terhubung, katanya.

Beliau berkata, transaksi awal menunjukkan jualan keseluruhan bernilai AS$116.4 juta.

Mohamed Azmin juga menekankan Malaysia komited untuk memajukan ekosistem industri halal yang kukuh dan komprehensif, yang membolehkan jenama halal berkembang di peringkat rantau dan global.

“Justeru, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menerajui Pelan Induk Industri Halal 2030 untuk memangkinkan industri halal negara secara holistik, dengan memperkukuh dan mengglobalisasikan ekosistem halal,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon