B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Nextgreen labur RM162 juta bina kilang di Pahang

Nextgreen labur RM162 juta bina kilang di Pahang

09 Jun 2022

Nextgreen Global Bhd melabur RM162 juta bagi membina tiga bangunan untuk mengilang tisu, makanan haiwan dan baja di Green Technology Park (GTP) Pekan, Pahang.

Dari segi pengeluaran, kilang pertama dijangka menghasilkan 10,000 tan metrik tisu, manakala dua kilang lagi akan mengeluarkan 30,000 tan metrik makanan haiwan dan 30,000 tan metrik baja organik.

Kilang tisu merangkumi pelaburan sebanyak RM80 juta, manakala kilang makanan haiwan dan kilang baja masing-masing membabitkan pelaburan RM50 juta dan RM32 juta.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri berharap dengan adanya pelaburan daripada Nextgreen itu dapat menarik lebih banyak pelabur ke arah projek berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) bagi pembangunan negeri Pahang yang mampan.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan dan membantu dalam memudahcara urusan pelaburan bagi mencapai kejayaan di Pahang.

“Melalui pelaburan ini, kerajaan negeri berharap dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan seterusnya meningkatkan ekonomi individu dan ekonomi negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau sebelum itu menyempurnakan majlis pecah tanah kilang Fasa 1B Nextgreen.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman, berkata industri pulpa dan kertas di Malaysia sedang memacu ke arah penggunaan tandan buah kosong daripada kelapa sawit kerana ia menyediakan bahan mentah yang banyak.

Katanya, dalam tempoh lima tahun lalu antara 2017 hingga 2021,MIDA telah

meluluskan 48 projek berkaitan biojisim dengan jumlah pelaburan RM1.24 bilion.

“MIDA akan terus memberi khidmat fasilitasi kepada pihak industri, seperti Nextgreen dalam merealisasikan pelaburan mampan dan inklusif yang akan mewujudkan rantaian industri baharu, limpahan yang positif serta pekerjaan bernilai tinggi selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

“MIDA berharap lebih ramai lagi pemain industri akan turut serta menghasilkan produk berasaskan bio yang bernilai lebih tinggi, selain daripada mengeksport bahan mentah sahaja.

“Ini dilihat sebagai salah satu jalan penyelesaian dalam menanggani isu perubahan iklim dan juga menggalakkan pembangunan dan aktiviti sosio-ekonomi luar bandar,” katanya.

Sempena majlis pecah tanah, turut diadakan majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Nextgreen dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dalam usaha membangunkan industri pertanian negara yang bersifat hijau, lestari dan mesra alam sekitar.

MoU itu dimeterai oleh Pengarah Urusan Nextgreen, Datuk Lim Thiam Huat dan Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob.

Antara bidang kerjasama strategik yang dimeterai merangkumi pengeluaran baja organik, makanan haiwan mesra alam dan juga bidang pelaburan yang strategik dan berdaya maju.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X