B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MIDA terus bantu realisasikan pelaburan mampan untuk wujudkan rantaian industri baharu

MIDA terus bantu realisasikan pelaburan mampan untuk wujudkan rantaian industri baharu

09 Jun 2022

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus memberi khidmat fasilitasi kepada pihak industri dalam merealisasikan pelaburan mampan dan inklusif yang akan mewujudkan rantaian industri baharu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Arham Abdul Rahman berkata di Malaysia, industri pulpa dan kertas sedang memacu ke arah penggunaan tandan buah kosong daripada kelapa sawit kerana ia menyediakan bahan mentah yang banyak untuk pengeluaran pulpa dan kertas.

“Dalam tempoh lima tahun yang lepas pada tahun 2017 hingga 2021, MIDA telah meluluskan 48 projek berkaitan biojisim dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.24 bilion,” katanya dalam satu kenyataan susulan majlis pecah tanah kilang Fasa 1B di Green Technology Park (GTP) Pekan, Pahang oleh Nextgreen Global Berhad (NGGB) hari ini.

Arham berkata perkhidmatan seperti ini akan mewujudkan limpahan yang positif serta pekerjaan bernilai tinggi selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

“MIDA berharap lebih ramai lagi pemain industri akan turut serta menghasilkan produk berasaskan bio yang bernilai lebih tinggi selain daripada mengeksport bahan mentah sahaja.

“Perkara ini dilihat sebagai salah satu jalan penyelesaian dalam menangani isu perubahan iklim dan juga menggalakkan pembangunan dan aktiviti sosio-ekonomi luar bandar,” katanya.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menyempurnakan majlis tersebut berkata kerajaan negeri berharap dengan adanya pelaburan daripada NGGB itu akan dapat menarik lebih banyak pelabur ke arah projek berteraskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi pembangunan negeri Pahang yang mampan.

“Melalui pelaburan ini, kerajaan negeri berharap dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan seterusnya meningkatkan ekonomi individu dan ekonomi negeri.” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon