B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Negeri Sembilan sasar hasil pelaburan lebih RM35 bilion pada 2023

Negeri Sembilan sasar hasil pelaburan lebih RM35 bilion pada 2023

31 Ogo 2022

Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menyasarkan hasil pelaburannya melonjak melebihi RM35 bilion pada tahun depan berbanding RM8.1 bilion yang diperoleh bagi tempoh Januari hingga Julai lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek optimis sasaran itu mampu dicapai melalui pelaksanaan pelbagai bentuk pelaburan berimpak tinggi termasuk aeroangkasa, pembangunan maritim dan semikonduktor.

Malah, beliau berkata kerajaan negeri juga turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Turkish Aerospace Industries baru-baru ini bagi membuka sebuah pusat pemasangan helikopter di Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) yang akan meningkatkan pelaburan negeri.

“Saya yakin ia berjaya dicapai jika kita berjaya membawa masuk pelaburan yang sedang dalam perancangan dan setakat ini kita sudah 90 peratus ke arah itu selain dengan pelan perancangan rapi serta dasar pelaburan berganda yang ditetapkan.

“Ia bukan sahaja merancakkan ekonomi negeri namun turut meningkatkan taraf hidup rakyat sekali gus membuka peluang kerja berkualiti kepada mereka, kita tak mahu bawa pelaburan tapi bawa masuk tenaga kerja asing, itu bukan sasarannya,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.

Mohamad Rafie berkata kerjasama dari aspek pelaburan itu menyuntik manfaat besar khususnya melalui lebih 5,000 peluang pekerjaan yang diwujudkan untuk masyarakat setempat termasuk perniagaan serta industri kecil dan sederhana.

Dalam pada itu, beliau berkata daripada RM8.1 bilion jumlah pelaburan itu, sebanyak RM6 bilion melibatkan pelaburan asing manakala bakinya daripada domestik dengan sektor pembuatan yang memainkan peranan penting memacu pemulihan ekonomi mencatat nilai tertinggi iaitu RM6.4 bilion.

Katanya, pelaburan tinggi itu didorong oleh projek pembesaran berkualiti dan berimpak tinggi iaitu bateri untuk kenderaan elektrik daripada Samsung SDI Energy Malaysia (SDIEM) di Tuanku Ja’afar Industrial Park, di sini.

Pada 2021, pencapaian pelaburan negeri mengalami penyusutan iaitu hanya RM5.76 bilion berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM7.93 bilion susulan impak COVID-19, kata Mohamad Rafie.

Beliau berkata ia menyebabkan produktiviti industri terganggu serta berdepan kekurangan pelabur sehingga membantutkan pertumbuhan ekonomi negeri selain kekurangan tanah industri baharu untuk dipromosikan.

Mengulas lanjut, beliau berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk usaha sama pembangunan kawasan perindustrian, perumahan dan pertanian bertujuan meningkatkan pendapatan penduduk terutama daripada golongan kurang berkemampuan.

Mohamad Rafie berkata antaranya dengan memperkenalkan Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) iaitu bantuan pembiayaan secara geran berjumlah RM3,000 kepada usahawan kecil bagi membantu mereka meningkatkan perniagaan dengan keseluruhan berjumlah RM21 juta setakat ini.

“Kita memang berusaha untuk bawa pelabur luar tapi pada masa sama kita turut membantu usahawan mikro, kita mahu bangunkan kedua-duanya seiring, ini disokong dengan pelbagai insentif itu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga terbuka untuk mempelbagaikan kerjasama dalam misi perdagangan dengan beberapa negara lain selepas ini termasuk Kanada.

Sementara itu, mengenai MVV 2.0, beliau berkata ia berada pada ‘landasan’ yang betul dengan fasa pembangunan seterusnya melibatkan kawasan perindustrian Hamilton sedang diperincikan manakala New Labu di Parcel A kini dalam penyediaan pelan susur atur bersama pemaju.

Menurutnya, Parcel B dirancang bagi pembangunan bercampur manakala Parcel C di Bukit Pelanduk dan Tanah Merah, Port Dickson pula bagi NS Aerospace Valley mengambil kira kedudukannya berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pada masa sama, kawasan pesisir pantai Port Dickson juga akan dibangunkan sebagai sebuah hab maritim yang akan melonjakkan ekonomi setempat dan kawasan sekitar,” katanya.

Mohamad Rafie berkata kerajaan negeri turut berhasrat menjadikan empat daerah iaitu Rembau, Kuala Pilah, Tampin dan Jempol sebagai pembangunan agropolis yang menerapkan elemen pertanian.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon