B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MIDA, Maersk bergandingan pacu pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia

MIDA, Maersk bergandingan pacu pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia

29 Ogo 2022

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bekerjasama dengan AP Moller-Maersk (Maersk) bagi memacu pelaburan yang berkualiti tinggi ke Malaysia, menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan sektor rantaian bekalan dan melonjakkannya sebagai salah satu hab logistik dalam ASEAN.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata, kedua-dua pihak akan bekerjasama menarik pelaburan yang berteknologi dan berimpak tinggi dalam sektor automotif, elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan, peranti perubatan, aeroangkasa, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi pengguna.

“Kerjasama dengan Maersk akan membawa lebih banyak pelaburan global yang disasarkan ke Malaysia menerusi pendekatan strategik dan penglibatan secara nilai tambah dengan syarikat-syarikat multinasional,” kata beliau di majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) MIDA-Maersk dan perkongsian strategik bagi mempromosikan pelaburan di Malaysia di sini hari ini.

Beliau juga berkata, dengan memanfaatkan kemampuan Maersk dalam logistik bersepadu, perkongsian strategik itu boleh mentransformasikan Malaysia menjadi hab logistik serantau di ASEAN, seterusnya meningkatkan pembangunan infrastruktur dan perdagangan bebas.

“Saya berharap dengan menggunakan sepenuhnya perkhidmatan yang disediakan, ia akan menarik lebih banyak syarikat pembuatan atau syarikat perdagangan, terutamanya syarikat-syarikat multinasional ke Malaysia,” katanya.

Beliau juga memberitahu MIDA telah membantu memudahkan status permohonan Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa (IILS) Maersk, yang mana hanya diberikan kepada syarikat logistik yang berkeupayaan menawarkan perkhidmatan logistik dari pintu ke pintu bersepadu di peringkat serantau atau global, sebagai satu entiti di sepanjang rantaian nilai. 

“Dengan status IILS yang diluluskan, Maersk kini akan diberikan lesen Ejen Penghantar Kargo dan Ejen Kastam oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan boleh melaksanakan aktiviti penghantaran barang dan kargo dengan sendiri,” katanya. 

Pada masa ini, Maersk memiliki tujuh gudang di Semenanjung Malaysia dengan kapasiti sehingga 68,000 meter persegi, serta lebih 300 kakitangan di 12 lokasi di seluruh negara.

Sivasuriyamoorthy berkata, industri logistik telah berkembang pesat di Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini di tengah-tengah pandemik COVID-19 dan ia dijangka mencecah US$55 bilion menjelang 2026 pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) melebihi empat peratus.

Sementara itu, Pengarah Urusan Maersk Thailand, Malaysia dan Singapura, Rupesh Jain berkata, kerjasama dengan MIDA akan membawa lebih banyak pelaburan global yang disasarkan ke Malaysia dan menyediakan penyelesaian rantaian bekalan bersepadu melalui penglibatan nilai tambah kepada syarikat multinasional, sambil memudahkan kemasukan pelaburan atau pengembangan mereka dalam negara.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon