B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Negara perlu segera beralih kepada ekonomi kitaran – EPU

Negara perlu segera beralih kepada ekonomi kitaran – EPU

15 Dis 2021

Terdapat keperluan segera untuk beralih kepada ekonomi kitaran memandangkan sumber asli negara mengalami penyusutan yang cepat dan pertumbuhan semula yang perlahan selain kemerosotan kualiti.

Pengarah Bahagian Ekonomi Alam Sekitar dan Sumber Asli, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri Che Kodir Baharum berkata ekonomi kitaran menjadi pemacu perubahan dalam mempercepatkan pertumbuhan hijau, selaras dengan agenda Rancangan Malaysia Ke-12.

Beliau berkata secara lazimnya, kebanyakan sektor di Malaysia mengamalkan konsep ekonomi linear yang menggunakan sumber secara intensif dan kurang cekap, menjana sisa dalam jumlah yang tinggi, menghasilkan gas rumah kaca dan menyebabkan pencemaran.

“Ekonomi kitaran memberi penekanan kepada mengembalikan sumber ke dalam sistem ekonomi dan alam sekitar melalui inisiatif guna semula dan pencegahan sisa, seterusnya mengurangkan kehilangan sumber.

“Sumber dan nilai produk dikembalikan dalam rantaian nilai selama yang mungkin. Ini akan membantu mengurangkan penjanaan sisa,” katanya dalam ucapan perasmian sesi webinar siri pertama bertajuk ‘Malaysia Percepat Peralihan Ke Arah Ekonomi Kitaran: Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR)’ hari ini.

Che Kodir berkata peralihan kepada ekonomi kitaran akan dapat mempertingkat kecekapan dan keberkesanan kos dengan ketara, mengurangkan kebergantungan terhadap sumber asli, menjadikan ekonomi lebih inovatif dan berdaya saing dan mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan hijau.

“Perniagaan, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana akan digalakkan untuk menerima pakai konsep ekonomi kitaran dalam reka bentuk, pengeluaran, logistik, penggunaan dan pengurusan sisa bagi produk dan perkhidmatan.

“Antara inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah ekonomi kitaran ialah EPR,” katanya.

Katanya EPR merupakan pendekatan dasar di mana pihak pengeluar bertanggungjawab sama ada dalam bentuk kewangan atau fizikal untuk merawat dan melupuskan produk selepas guna yang telah dibawa masuk ke pasaran.

“Dalam hubungan ini, peraturan baharu bagi buangan peralatan elektrik dan elektronik (e-sisa) isi rumah akan diperkenalkan dan diperluas untuk meliputi lain-lain jenis dan aliran sisa terutamanya bahan pembungkusan dan plastik sekali guna.

“Peraturan berkaitan, instrumen ekonomi dan mekanisme pemantauan akan disediakan untuk membolehkan pengeluar dan peruncit melaksanakan EPR bagi jenis sisa yang lain,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon