B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MyDIGITAL buka peluang lebih besar kepada perniagaan tempatan untuk membangun dan berkembang

MyDIGITAL buka peluang lebih besar kepada perniagaan tempatan untuk membangun dan berkembang

19 Feb 2021

Perniagaan tempatan mampu menikmati peluang yang lebih besar untuk membangun dan berkembang di peringkat domestik, serantau malah global melalui pulangan daripada pendigitalan melalui inisiatif MyDIGITAL yang dilancarkan hari ini.

Ia juga bakal memperoleh lebih banyak peluang integrasi antara sektor ekonomi dan menjadi lebih cekap dari segi kos hasil daripada perkongsian ekonomi.

“Kira-kira 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu menerima guna e-dagang dan pada masa sama kita dapat menarik dua syarikat unicorn, sama ada tempatan atau asing,” menurut buku Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia yang dikeluarkan bersempena majlis pelancaran MyDIGITAL secara maya hari ini.

Menurutnya, rakyat Malaysia bakal menikmati penambahbaikan literasi digital, pertambahan pekerjaan berpendapatan tinggi, peningkatan kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar; perniagaan, termasuk PMKS.

Bagi pihak kerajaan, inisiatif tersebut bakal menyaksikan semua kementerian dan agensi menyediakan pilihan pembayaran tanpa tunai menjelang 2022 dan mencapai 80 peratus penggunaan storan pengkomputeran awan merentas sektor awam pada 2022.

Sementara itu, bagi rakyat, MyDIGITAL bakal mewujudkan 500,000 pekerjaan baharu, 100 peratus isi rumah mendapat capaian kepada internet dan semua pelajar mendapat akses kepada pembelajaran dalam talian.

MyDIGITAL menggariskan inisiatif dan hasil bersasar untuk rakyat, perniagaan dan kerajaan merentas tiga fasa pelaksanaan sehingga 2030.

Semua manfaat tersebut akan dilaksanakan melalui enam teras utama, 22 strategi, 48 inisiatif nasional dan 28 inisiatif sektoral melalui Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia.

Fasa 1 (2021-2022) bertujuan untuk melonjakkan penerimagunaan bagi pengukuhan asas digital yang diperlukan untuk memastikan pelaksanaan Fasa 2 dan Fasa 3 yang pantas dan lancar.

Dalam Fasa 2 (2023-2025), fokus akan beralih kepada memacu transformasi dan inklusiviti digital merentas ekonomi digital, dengan menitikberatkan inklusiviti dalam kalangan rakyat dan semua peringkat perniagaan.

Fasa 3 (2026-2030) menetapkan hala tuju pertumbuhan ekonomi digital yang tinggi dan mampan dalam beberapa dekad yang akan datang, meletakkan Malaysia sebagai pengeluar pasaran serantau bagi produk digital dan penyedia penyelesaian digital.

Pada 2019, subsektor ICT di Malaysia telah menyumbang sebanyak RM289 bilion atau 19.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Pandemik COVID-19 telah mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital melalui pewujudan perniagaan baharu secara digital dan mendorong perniagaan tradisional secara zikal beralih kepada perniagaan dalam talian. Norma baharu pandemik menyebabkan rakyat Malaysia memilih untuk melakukan aktiviti secara maya bagi memenuhi keperluan harian, hiburan dan pendidikan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon