B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MRO pesawat, perkapalan antara industri terima manfaat STA 2010, kata Pengawal Perdagangan Strategik

MRO pesawat, perkapalan antara industri terima manfaat STA 2010, kata Pengawal Perdagangan Strategik

13 Apr 2021

Industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat Malaysia adalah antara penerima manfaat daripada Akta Perdagangan Strategik (STA) 2010.

Menurut Pengawal Perdagangan Strategik Pertama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Mohamed Shahabar Abdul Kareem, kebanyakan pesawat, enjin pesawat dan komponen penerbangan adalah dikawal untuk tujuan eksport oleh Amerika Syarikat (AS).

Melalui kewujudan STA 2010, beliau berkata AS akan tahu bahawa pengguna akhir peralatan itu adalah dari Malaysia dan akan meluluskan bahagian atau komponen pesawat untuk dipasang di Malaysia.

“Ini telah memberi manfaat kepada industri di negara ini,” katanya kepada Bernama bersempena ulang tahun ke-10 STA 2010 baru-baru ini.

Mohamed Shahabar yang berkhidmat sebagai pengawal antara 2010 dan 2013 bagi meneraju Sekretariat Perdagangan Strategik yang ditubuhkan MITI untuk pelaksanaan STA 2010 berkata, industri perkapalan turut menikmati manfaat yang sama.

Beliau berkata kawalan eksport bukanlah sesuatu yang asing bagi AS dan negara-negara Eropah memandangkan undang-undang berkaitan telah dikuatkuasakan di negara berkenaan sejak perang dunia kedua untuk menghalang musuh dan perikatannya daripada menerima teknologi mereka, khususnya teknologi ketenteraan.

Menerusi penguatkuasaan STA 2010, beliau berkata perundangan itu berupaya mengawal eksport, pemindahan, transit dan pembrokeran barangan strategik dan teknologi termasuk senjata dan bahan berkaitan, dan aktiviti-aktiviti lain yang akan atau mungkin memudahkan reka bentuk, pembangunan,  pengeluaran dan penghantaran senjata pemusnah besar-besaran dari Malaysia ke negara lain.

“Pada masa yang sama, Malaysia akan berupaya menarik lebih banyak syarikat asing berteknologi tinggi dan berpengetahuan tinggi untuk melabur di sini, dan kemudiannya keluar daripada perangkap berpendapatan sederhana untuk mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.

Mengenai manfaat lain bagi akta itu, Mohamed Shahabar berkata STA 2010 akan melindungi Malaysia dan pengeksport Malaysia daripada dieksploitasi oleh pengeluar serta pihak yang mendapat keuntungan daripada kegiatan mereka tanpa menjejaskan perdagangan yang sah dalam barangan strategik berkenaan.

Menurut MITI, barangan strategik yang dikategorikan di bawah STA 2010 termasuk barangan ketenteraan, elektronik, komputer, material, bahan kimia, mikroorganisma dan toksin, serta sistem pendorongan, kapal angkasa dan peralatan berkaitan.

“Dengan penubuhan STA 2010, Malaysia sebagai hab pemindahan utama akan berupaya menguatkuasakan kawalan ke atas transit atau pemindahan berasaskan panduan strategi dan menghalang pengeluar daripada menghantar barangan tertentu kepada negara tertentu yang tidak sepatutnya menerima,” kata Mohamed Shahabar.

Beliau berkata undang-undang itu akan turut menonjolkan Malaysia sebagai negara yang selamat untuk membuat urusan perdagangan dan bukan hanya menyumbang kepada keamanan global.

Sehingga kini, beliau berkata Malaysia menyaksikan peningkatan tahap kesedaran terhadap undang-undang itu dalam kalangan pengeksport tempatan dengan 617 syarikat telah mendaftar sebagai pemohon permit STA.

“Ia adalah peningkatan sebanyak 54 peratus berbanding kurang daripada 400 yang direkodkan pada 2013, menunjukkan kesedaran adalah pada tahap ‘amat baik’ daripada sedekad lepas,” katanya.

Malaysia mula melaksanakan STA 2010 pada 1 Jan 2011 selepas diluluskan Parlimen pada 6 Mei 2010.

Penguatkuasaan itu adalah selaras dengan komitmen negara untuk melaksanakan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1540.

Malaysia juga merupakan negara ASEAN kedua yang menguatkuasakan undang-undang itu selepas Singapura.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon