B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MPMA terbuka untuk pacu industri plastik ke arah ekonomi kitaran

MPMA terbuka untuk pacu industri plastik ke arah ekonomi kitaran

15 Dis 2021

Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) terbuka untuk sebarang kerjasama dengan organisasi atau mana-mana syarikat yang mahu memacu industri plastik Malaysia ke arah ekonomi kitaran (CE).

Naib Presiden MPMA, C.C. Cheah berkata persatuan itu akan terus menyokong pihak berkepentingan industri plastik ke arah mencapai CE dan melaksanakan skim tanggungjawab pengeluar lanjutan (EPR) di Malaysia.

“Plastik adalah bahan yang berharga dan hanya melalui sistem kitaran sahaja nilai bahan ini boleh dikekalkan dalam rantaian bekalan dengan impak minimum terhadap alam sekitar.

“Plastik tidak sewajarnya berakhir di tapak pelupusan tetapi ia harus diasingkan sebagai bahan kitar semula,” katanya semasa Siri Webinar EPR Ekonomi Kitaran Malaysia Yang Dipercepatkan – Jilid 1 hari ini.

Banyak negara telah menetapkan sasaran ke atas produk kitaran, memacu reka bentuk serta inovasi produk, meningkatkan permintaan bagi bahan kitar semula dan pembangunan teknologi dalam kitar semula.

“Ini mendorong industri plastik Malaysia ke arah haluan yang sama,” tambahnya.

Sementara itu, menurut beliau lagi, Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 yang dilancarkan sebelum ini adalah cerminan kepada usaha kerajaan untuk menangani pencemaran sisa plastik, yang akan memacu pelaksanaan EPR bagi pembungkusan plastik di seluruh negara sebagai permulaan.

“Industri plastik menyokong ini sebagai skim EPR yang akan meningkatkan pemulihan dan kitar semula plastik, sekali gus memacu industri ke arah CE,” katanya.

Jumaat lepas, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang melancarkan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030, berkata rangka kerja itu, yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa, akan menjadi pedoman bagi pihak berkepentingan dalam memelihara plastik berdasarkan konsep ekonomi kitaran di seluruh rantaian nilai.

Rangka kerja tersebut merupakan antara tindakan di bawah Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna yang telah diluluskan oleh Kabinet pada 2018.

Tuan Ibrahim berkata skim EPR merupakan elemen penting dalam rangka kerja yang akan mengubah ekosistem pengurusan sisa plastik tempatan.

Di bawah skim EPR, pengilang bukan sahaja bertanggungjawab merawat dan melupuskan sisa plastik yang telah dipasarkan melalui jenama masing-masing, malah mereka juga perlu mengambil kira komponen reka bentuk serta penggunaan resin kitar semula.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon