B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia-AS teroka tenaga solar

Malaysia-AS teroka tenaga solar

15 Dis 2021

Malaysia berhasrat meneroka kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) untuk memperkenal Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) dalam rangkaian bekalan elektrik negara.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata tenaga solar ketika ini mempunyai kepentingan yang amat ketara dalam sistem penjanaan tenaga di Malaysia.

Katanya, aspek kelangsungan bekalan tenaga daripada penjanaan sistem solar sebagai sumber boleh diperbaharui (RE) perlu diberi perhatian khusus.

“Kita bercadang untuk memperkenal skala utiliti menerusi BESS dengan keseluruhan kapasiti 500 megawatt (MW), bagi tempoh 2030 hingga 2034 ke dalam sistem elektrik Semenanjung.

“Ini antara ruang kerjasama yang ingin diterokai selanjutnya bersama AS. Kementerian ketika ini menjalankan kajian menerusi sebuah syarikat persendirian, berbekalkan jaminan oleh kementerian, dikenali sebagai MyPower.

“Peranan utama MyPower bagi memastikan kelangsungan industri bekalan elektrik negara,” katanya pada ucaptama Rundingan Meja Bulat mengenai Tenaga Diperbaharui Malaysia-AS, di sini, hari ini.

Sejak dilancarkan pada November lalu, Takiyuddin berkata, inisiatif Tarif Elektrik Hijau (GET) mula melakar kejayaan dan meraih sokongan pelbagai syarikat multinasional, dengan 16 peratus daripada kuota sedia ada sudah dilanggan.

Bagi memacu matlamat penggunaan bekalan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu, beliau berharap syarikat AS di Malaysia yang ingin memenuhi komitmen urus tadbir, alam sekitar dan sosial mereka berupaya merebut peluang menerusi GET.

“Selain mencapai sasaran perubahan iklim, pelaksanaan rangkaian inisiatif ini dijangka memacu pertumbuhan ekonomi menerusi suntikan pelaburan baharu dan peluang pekerjaan.

“Contohnya, apabila kita menawarkan projek solar berskala besar 1,000 MW dan projek solar atas bumbung berkadar 500 MW tahun lalu, ia menjana peluang pelaburan bernilai AS$1.2 bilion serta 18,000 peluang pekerjaan baharu.

“Berbekalkan hubungan diplomatik yang utuh di antara kedua-dua negara, Malaysia sudi menerima tawaran untuk meneroka kerjasama dengan AS ke arah peralihan tenaga hijau dan lebih lestari.

“Menerusi sokongan AS, Malaysia diyakini mampu mencapai segenap matlamat yang digariskan ke arah peralihan tenaga hijau dan usaha menangani kesan gas rumah yang menyumbang kepada polemik perubahan iklim,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, pula menyifatkan Malaysia sebagai rakan dagang dan pihak berkepentingan dalam usaha meningkatkan kerjasama memerangi isu pemanasan global.

Menyedari hakikat itu, beliau menzahirkan tekad untuk memberi bantuan dalam segenap aspek kepada Malaysia, termasuk membabitkan pemindahan teknologi, kepakaran, kewangan dan aset berkaitan.

“Matlamat bakal berdepan pelbagai cabaran, tetapi menerusi kerjasama dengan Malaysia, ia mampu memberi impak berkali ganda.

“Bukan sekadar memenuhi komitmen bagi menangani kesan pemanasan global, tetapi usaha meneroka kerjasama ke arah tenaga hijau berupaya menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan sosioekonomi masyarakat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon