MOU China-Malaysia bernilai bilion ringgit bukti pendekatan betul diambil - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MOU China-Malaysia bernilai bilion ringgit bukti pendekatan betul diambil

MOU China-Malaysia bernilai bilion ringgit bukti pendekatan betul diambil

18 Sep 2023

Kejayaan Malaysia dalam mendapatkan lagi memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM19.84 bilion dengan China tahun ini, membuktikan yang kerajaan menggunakan pendekatan betul mencari peluang pelaburan untuk manfaat kepada negara.

Sebanyak tiga MoU ditandatangani ketikalawatan kerja sehari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Nanning, China, semalam atas jemputan Perdana Menteri China, Li Qiang untuk menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-20.

Diiringi oleh beberapa menteri, Anwar menyaksikan pertukaran tiga MoU bernilai RM19.84 bilion di antara syarikat Malaysia dan China, sebagai tambahan kepada rekod komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion yang diperoleh daripada ekonomi kedua terbesar dunia itu pada Mac tahun ini.

Daripada tiga MoU itu, yang pertama dianggarkan bernilai RM15 bilion membabitkan Citaglobal Bhd dan Shanghai Sus Environment, yang mana kedua-dua syarikat akan meneroka kerjasama untuk membangunkan loji kuasa sisa kepada tenaga, khususnya di Malaysia.

Profesor Madya Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Dr Abu Sofian Yaacob berkata terdapat banyak industri berpotensi boleh dibangunkan daripada penerokaan ini seperti insinerator sisa untuk menukarkannya kepada tenaga.

“Ini boleh menjadikan persekitaran lebih bersih di Malaysia dan mengurangkan kadar elektrik,” katanya kepada Bernama hari ini.

MOU kedua, bernilai kira-kira RM2.34 bilion, adalah di antara PM Access World dan Beibu Gulf Port Group manakala MOU ketiga, dengan potensi nilai eksport RM2.5 bilion, ditandatangani di antara Sime Darby Oils International Ltd dan GuangXi Beibu Gulf International Port Group.

Abu Sofian berkata perjanjian PM Access World-Beibu Gulf Port Group akan membuka jalan kepada Malaysia untuk berkembang ke pasaran China.

“MoU bernilai RM2.34 bilion dalam pergudangan dan logistik merupakan satu lagi potensi untuk perniagaan eksport dan import. PM Access World mempunyai banyak cawangan di luar Malaysia dan terkenal sebagai penyedia pergudangan dan logistik.

“Ini boleh dipertingkatkan lagi melalui kerjasama dengan Beibu Gulf Port Group, sebuah entiti perniagaan yang mantap di China. Kumpulan ini terlibat dalam pelabuhan, logistik, industri dan perdagangan, hartanah dan pelaburan. Mereka juga memiliki pelabuhan dan perniagaan pelaburan di Hong Kong, Malaysia dan Brunei,” katanya.

Sementara itu, Abu Sofian berkata MoU di antara Sime Darby Oils International dan GuangXi Beibu membolehkan Malaysia menjual minyak sawit ditapis ke China serta ke negara jiran dengan China sebagai hab pengedaran.

Ini bermakna eksport minyak sawit dan produk minyak sawit Malaysia boleh meningkat, katanya.

Anwar pada sidang media memberitahu MoU Sime Darby Oils International-GuangXi Beibu akan membantu melindungi kepentingan pekebun-pekebun kecil dan pengeluar kelapa sawit.

Beliau berkata MoU itu akan meningkatkan eksport minyak sawit Malaysia ke China kepada 500,000 tan setahun daripada 250,000 tan sebelumnya.

Bagi tempoh enam bulan pertama 2023, Malaysia menarik pelaburan yang diluluskan bernilai RM132.6 bilion dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama yang melibatkan 2,651 projek dan dijangka mewujudkan 51,853 peluang pekerjaan di negara ini.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon