B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Mesyuarat meja bulat pada Oktober bincang isu, cabaran industri perabot negara – Tengku Zafrul

Mesyuarat meja bulat pada Oktober bincang isu, cabaran industri perabot negara – Tengku Zafrul

31 Ogo 2023

Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengadakan mesyuarat meja bulat dengan Kerajaan Negeri Johor, Oktober ini di Kuala Lumpur bagi membincangkan isu dan cabaran dihadapi industri perabot, terutama di Muar yang menjadi antara pusat pengeluaran perabot terbesar di Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata perkara itu antara yang diputuskan menerusi pertemuannya dengan Ahli Majlis Perabot Malaysia dan Persatuan Perabot Muar hari ini.

“Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat tersebut untuk membincangkan isu-isu yang dihadapi hari ini, cabaran dihadapi industri kerana sebenarnya industri perabot ini satu industri yang besar dan kalau dilihat dari jumlah dagangan ia telah mencecah hampir RM19 bilion pada 2022.

Eksport kita pun besar dan Muar merupakan salah satu kawasan industri perabot terbesar di Malaysia, 60 peratus daripada industrinya di sini dan antara cabaran dihadapi dibangkitkan antaranya pekerja berkemahiran dan membantu mereka memecah pasaran baharu terutama di luar Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan itu yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ahli Parlimen Bakri Tan Hong Pin serta calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil Simpang Jeram Nazri Abdul Rahman.

Berhubung projek Muar Furniture Park (MFP) di Bakri, Tengku Zafrul berkata pertemuan juga akan diatur dengan Johor Corporation (JCorp) yang membangunkan taman perindustrian berkenaan bagi membincangkan bentuk sokongan yang boleh diberikan kerajaan.

“Pemain industri harap Kerajaan Negeri dan Persekutuan dapat bincang dengan pihak terlibat iaitu Jcorp, saya percaya ada satu idea dibangkitkan bagaimana Muar Furniture City ini dapat bantu industri perabot ini dan kita akan bincangkan dengan lebih mendalam bila kita berjumpa,” katanya.

Sementara itu Onn Hafiz menzahirkan keyakinan bahawa kolaborasi antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mampu melonjakkan lagi potensi Muar sebagai pengeluar perabot terbesar negara, memandangkan beliau melihat banyak lagi perkara yang boleh dibuat di peringkat dasar dan kementerian.

MFP yang meliputi kawasan seluas 399.4 hektar, merupakan hab bersepadu pengeluaran perabot negara yang dilancarkan pada April 2018 dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon