B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MOSTI komited pastikan pasaran grafit, grafin di Malaysia capai tahap global

MOSTI komited pastikan pasaran grafit, grafin di Malaysia capai tahap global

01 Ogo 2022

Malaysia bakal mendapat manfaat yang besar hasil daripada kerjasama antara Graphjet Technology Sdn Bhd (Graphjet) dengan Toyoda Trike Corporation (Toyoda) dan Asia Development Capital Ltd dalam industri grafin dan grafit.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba percaya untuk jangka masa panjang, pemasaran grafin yang dihasilkan Graphjet akan memberi manfaat kepada Malaysia kerana ia mempunyai potensi untuk membekalkan kepada syarikat produk grafin tempatan di bawah program ‘Graphenovation’. 

“Bagi jangka masa panjang, ia juga akan membolehkan Malaysia menjadi salah satu pengeksport grafin di dunia suatu hari nanti selain menjadi penggalak kepada syarikat yang ingin memanfaatkan potensi besar grafin untuk melabur di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Adham hari ini menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Graphjet dengan Toyoda dan Asia Development Capital Ltd.

Menerusi MoU berkenaan, Toyoda yang merupakan sebuah syarikat terkemuka dari Jepun dan terkenal di peringkat antarabangsa, telah diberikan hak eksklusif untuk mengedarkan grafit dan grafin yang dihasilkan Graphjet di Jepun.

Melihat kepada rekod prestasi Toyoda yang kukuh dan Jepun sebagai salah satu hab utama industri automotif, kerjasama tersebut dilihat akan mampu mempromosikan bahan grafin buatan Malaysia.

Syarikat Graphjet telah memulakan pendekatan yang inovatif untuk menghasilkan grafin daripada isirong sawit. Teknologi yang dipatenkan ini ialah penyelesaian yang akan memajukan pembangunan grafin.

Teknologi yang menggunakan isirong sawit sebagai bahan utama dalam penghasilan grafin ini juga memberi kelebihan kepada Malaysia untuk membekalkan bahan mentah dalam penghasilan grafin memandangkan Malaysia merupakan antara pengeluar kelapa sawit terbesar dunia.

Adham berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut menyarankan agar Graphjet menjalin kerjasama dengan NanoMalaysia Bhd (NMB) terutamanya dalam rantaian bekalan dan pembangunan produk hiliran dan aplikasi dengan grafin, selain mendapatkan pensijilan GrapheneVerify untuk produk bagi mengukuhkan kehadirannya dengan pengiktirafan domestik dan antarabangsa.

GrapheneVerify ialah program di bawah NanoVerify Sdn Bhd (NVSB), sebuah syarikat milik penuh di bawah NMB iaitu agensi di bawah MOSTI untuk menggalakkan penyertaan pemain grafin Malaysia dalam ekonomi grafin global yang dianggarkan berjumlah US$267 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-11, NMB telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan Pelan Tindakan Grafin Kebangsaan 2020 (NGAP 2020).

Sehingga kini, terdapat 61 projek telah diaktifkan dan 40 harta intelek telah difailkan melibatkan 50 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, termasuk syarikat pemula niaga.

Projek-projek ini telah mencipta lebih 15,000 peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon