MMT, Future Hover labur RM1 bilion bina kilang di Negeri Sembilan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MMT, Future Hover labur RM1 bilion bina kilang di Negeri Sembilan

MMT, Future Hover labur RM1 bilion bina kilang di Negeri Sembilan

08 Sep 2022

Pembinaan kilang pembuat komponen semikonduktor membabitkan kerjasama dua syarikat dengan pelaburan bernilai RM1 bilion bakal menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk khususnya di Negeri Sembilan.

Dua syarikat berkenaan ialah Metalmach Micro Technology (MMT) yang mengeluarkan alat ganti besi berketepatan tinggi dan pembekal bahan bantuan pembuatan dari China, Future Hover Industrial Co. Ltd (Future Hover).

Kedua-dua syarikat ini secara bersama melabur RM1 bilion bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pengeksportan semikonduktor di Asia Tenggara dan dunia.

Kedua-dua pihak menandatangani perjanjian kerjasama (MoU) di MMT di Kawasan Perindustrian Oakland Seremban 2, di sini, petang ini.

Pengarah Operasi MMT, Low Kim Yoong, berkata menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan menyelaraskan teknologi dan sumber terbaik di dalam menawarkan solusi sehenti untuk industri berkenaan.

Katanya, MMT mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam penghasilan mesin berketempatan tinggi, pembuatan acuan dan pembangunan semikonduktor manakala Future Hover memiliki kepakaran dalam pengujian dan pembungkusan semikonduktor.

“Kerjasama ini bukan sahaja menguatkan posisi kedua-dua pihak di rantau ini, tetapi juga meningkatkan posisi Malaysia yang telah dikenali dalam sektor pembekalan.

“Ini juga akan membolehkan Malaysia menjadi pilihan utama untuk penghasilan semikonduktor secara global berdasarkan permintaan yang meningkat dan pengembangan yang pesat dalam sektor itu di Asia Tenggara.

“Kerjasama ini membolehkan pengurusan yang menyeluruh termasuk aspek pemasangan sekali gus menjadikan kami antara pemain yang terkuat dalam industri pembekalan semikonduktor,” katanya pada majlis perjanjian berkenaan.

Turut menyaksikan majlis berkenaan ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ahli Exco Negeri Sembilan, Nicol Tan Lee Koon serta Pengarah Perniagaan (Malaysia) Future Hover, Alfred Foo.

Kim Yoong berkata, pihaknya yakin melalui pelaburan RM1 bilion itu, akan dapat menjana secara kolektif RM10 bilion daripada hasil jualan eksport dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Beliau berkata, kilang yang akan dibina akan berperanan sebagai hab untuk pembekal dalam dan luar negara bagi memperolehi barangan yang lebih berdaya saing.

“Kami juga berharap untuk membekalkan latihan teknikal dan pemahaman yang lebih mendalam di dalam industri sebagai salah satu usaha untuk menjana populasi pekerja mahir di Negeri Sembilan dan negara ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon