B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MIDA optimis tarik pelaburan berkualiti tinggi

MIDA optimis tarik pelaburan berkualiti tinggi

08 Sep 2022

 Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) optimis dapat menarik pelaburan berimpak tinggi sejajar dengan usahanya mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai hab logistik pilihan di rantau Asia Pasifik.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan) MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata, perkara tersebut akan dicapai melalui kerjasamanya dengan syarikat logistik bersepadu, A.P. Moller-Maersk (Maersk).

Katanya, kehadiran syarikat logistik yang teguh di negara ini penting bagi memacu usaha MIDA dalam mewujudkan ekosistem yang baik bagi menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti ke Malaysia.

“MoU selama dua tahun tersebut dapat membawa masuk pelaburan antarabangsa ke negara ini melalui pendekatan penglibatan strategik dan nilai tambah untuk syarikat multinasional. Melalui kerjasama ini juga kami akan bekerjasama dengan Maersk bukan sahaja untuk membantu mereka berkembang di negara ini tetapi juga untuk menarik pelabur-pelabur baharu ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara MIDA dan Maersk di Ibu pejabat MIDA, Kuala Lumpur Sentral, baru-baru ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Sivasuriyamoorthy yang mewakili MIDA manakala Maersk diwakili oleh Pengarah Urusan Maersk Thailand, Malaysia dan Singapura, Rupesh Jain.

Sementara itu, Sivasuriyamoorthy berkata, kerjasama dengan Maersk akan membawa lebih banyak pelaburan global yang disasarkan ke Malaysia melalui pendekatan penglibatan strategik dan nilai tambah kepada syarikat multinasional.

Menurutnya, pihaknya akan memanfaatkan keupayaan Maersk dalam logistik bersepadu bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik serantau di Asia Pasifik, seterusnya meningkatkan pembangunan infrastruktur dan perdagangan bebas.

“Syarikat multinasional biasanya akan melihat sama ada mereka dapat membawa keluar atau mengeksport produk mereka dengan mudah ketika memilih sesebuah negara untuk membuat pelaburan. Maersk sebagai pemain global dapat meyakinkan pelabur-pelabur antarabangsa untuk melabur di Malaysia,” ujarnya. 

Sumber: Utusan Malaysia

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon