MITI peroleh potensi pelaburan bernilai RM23 bilion dan eksport RM2.1 bilion ke Jepun
02 Jun 2023
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berjaya memperoleh potensi pelaburan bernilai RM23.07 bilion dan potensi eksport produk dan perkhidmatan ke Jepun bernilai RM2.1 bilion susulan Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke Tokyo dan Osaka yang baru sahaja berakhir.
Misi selama lima hari itu yang diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dari 29 Mei hingga 2 Jun, 2023, merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan langsung asing (FDI) dan penyumberan pilihan di Asia Tenggara dengan penekanan utama kepada digital serta prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Beliau berkata MITI akan berusaha untuk merealisasikan pelaburan ini dengan segera bagi membantu Malaysia memanfaatkan trajektori pertumbuhan ekonomi global yang bertambah baik pada tahun-tahun akan datang.
“Apabila berjaya dilaksanakan kelak, projek ini bukan sahaja akan menjana prospek pekerjaan dan peluang latihan kemahiran bagi rakyat Malaysia tetapi juga memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita dalam rantaian bekalan domestik, menggalakkan pelaburan langsung domestik dan membangunkan lagi ekosistem industri strategik di negara kita.
“Kebanyakan pelaburan berpotensi ini sesuai terutamanya dengan sektor sasaran Dasar Pelaburan Baharu (NIP) seperti ekonomi digital, elektrik dan elektronik (termasuk peralatan perubatan) dan kimia atau petrokimia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“MITI juga akan berusaha untuk merealisasikan eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia ke pasaran Jepun, sambil turut memanfaatkan pelbagai perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dianggotai Malaysia,” kata Tengku Zafrul.
Potensi eksport yang dicapai ialah daripada sektor seperti tenaga dan kimia, minyak sawit, pembinaan dan bahan binaan, Makanan dan Minuman (termasuk industri halal), gaya hidup serta industri hijau dan lestari.
Tengku Zafrul juga bertemu dengan anggota Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) dan menggalakkan mereka menyertai ekspo perdagangan di Malaysia serta meminta untuk mempermudah penyertaan Malaysia dalam World Expo Osaka 2025.
Misi perdagangan dan pelaburan itu dijayakan oleh agensi MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadangan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Sumber: Bernama