B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MITI kenakan duti anti-lambakan terhadap produk dari China, Korea Selatan, Vietnam

MITI kenakan duti anti-lambakan terhadap produk dari China, Korea Selatan, Vietnam

23 Dis 2020

Kerajaan telah memutuskan untuk mengenakan duti anti-lambakan terhadap import produk gulungan rata keluli bukan aloi disadur atau disalut aluminium dan zink, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dalam kenyataan hari ini, MITI berkata duti itu akan dikenakan terhadap produk berkenaan yang diimport dari China, Korea Selatan dan Vietnam untuk tempoh lima tahun, bermula 12 Dis, 2020 hingga 11 Dis, 2025.

Duti untuk produk yang diimport dari China adalah antara 2.18 peratus dan 18.88 peratus, manakala duti untuk produk dari Korea Selatan adalah daripada 9.98 peratus hingga 34.94 peratus, dan produk dari Vietnam adalah daripada 3.06 peratus hingga 37.14 peratus.

Menurut MITI, keputusan itu dibuat setelah ia melakukan dan menyelesaikan penyiasatan terperinci terhadap pengeluar dan pengimport di Malaysia, termasuk pengeluar dan pengeksport barangan tersebut dari tiga negara berkenaan.

“Kerajaan telah memuktamadkan daripada penyiasatan anti-lambakan dan mendapati dagangan tersebut dibawa masuk ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga jualan di negara yang terlibat, menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia,” menurut kementerian itu.

Katanya penyiasatan dilakukan selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994, berdasarkan petisyen yang difailkan oleh NS Bluescope (Malaysia) Sdn Bhd bagi pihak industri tempatan.

Menurut MITI, Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menguatkuasakan pungutan duti anti-lambakan, sambil menambah langkah itu diharap dapat menangani isu amalan perdagangan yang tidak adil.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon