B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kelantan rancang bina rumah sejuk beku untuk eksport durian

Kelantan rancang bina rumah sejuk beku untuk eksport durian

23 Dis 2020

Kerajaan Kelantan dengan kerjasama Jabatan Pertanian negeri akan membina dua rumah sejuk beku melibatkan kos RM1 juta sebagai tempat simpanan durian jenis Musang King untuk pasaran eksport, awal tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata pihaknya sedang mencari tapak untuk pembangunan rumah tersebut terutama di kawasan paling banyak ditanam durian seperti Tanah Merah dan Jeli.

“Sebelum ini baka durian Musang King di Tanah Merah menjadi perintis durian berkualiti namun terpaksa dihantar ke Raub, Pahang memandangkan kita kekurangan tempat pengumpulan.

“Jadi, rumah sejuk beku menggunakan peralatan berteknologi tinggi perlu disediakan mulai awal tahun depan bagi memudahkan eksport durian ke luar negara, terutama China,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis graduasi dan penutup program Farmer’s & Field School (FFS) Cantuman Durian di Pejabat Pertanian Negeri Kelantan di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah Pertanian Negeri Kelantan Norbahani Zakaria.

Tuan Mohd Saripudin berkata kaedah penyimpanan durian menggunakan rumah sejuk beku itu dapat bertahan selama dua bulan, sekali gus ‘raja buah’ itu dapat dipasarkan sepanjang musim.

“Dengan adanya tempat ini, kita juga dapat mengelak lambakan durian di pasaran, mengawal harga siling dan menjadi pusat pengumpulan hasil durian dan membantu pekebun mengembangkan ekonomi dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata di Kelantan terdapat 8,000 hektar tanah yang ditanam dengan tanaman durian, termasuk Musang King dan juga jenis durian berkualiti tinggi yang lain seperti 101, D24 dan Black Thorn.

“Lebih 10,000 pekebun mengusahakan tanaman Musang King, selain kita turut menyediakan pagar elektrik, teknik solar dan jaring  bagi mengelak haiwan liar dari menceroboh kawasan tanaman.

“Kerajaan Negeri juga berusaha membantu pekebun durian yang menghadapi masalah ancaman daripada babi hutan, gajah liar dan kera yang merosakkan tanaman mereka, menerusi kerjasama agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Perhilitan Negeri,” tambahnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon