B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MITI kekal sasaran DDI sebanyak RM97.9 bilion tahun ini – Azmin

MITI kekal sasaran DDI sebanyak RM97.9 bilion tahun ini – Azmin

26 Jul 2022

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengekalkan sasaran pelaburan langsung domestik (DDI) tahun ini berjumlah RM97.9 bilion iaitu pencapaian yang sama pada 2021.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melahirkan keyakinan bahawa Malaysia berupaya mengulangi kejayaan tersebut dan mengekalkan momentum positif tersebut.

“Pada suku tahun pertama 2022, kita telah mencatat RM42.8 bilion pelaburan dengan RM15 bilion daripadanya adalah DDI.

“Sudah tentu kita sedang melipatgandakan usaha bagi memastikan permintaan meningkat dan dapat dipenuhi oleh perusahaan kecil dan sederhana serta pemain tempatan,” beliau berkata kepada pemberita selepas ditemui dalam Seminar Pelaburan Domestik Siri I (Wilayah Tengah) anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Terdahulu semasa ucapan majlis makan tengah hari, Mohamed Azmin berkata kerajaan tetap komited untuk memupuk persekitaran yang mesra perniagaan dan pelaburan untuk mempercepatkan pertumbuhan pelaburan asing serta domestik. 

Dengan RM208.6 bilion pelaburan langsung asing (FDI) dan RM97.9 bilion dalam DDI tahun lepas, Malaysia terus mengekalkan keyakinan pelabur serta pihak berkepentingannya sambil mengukuhkan reputasi negara sebagai pusat keuntungan strategik untuk perniagaan di Asia.

Beliau menambah pada 2021, Malaysia meraih RM306.5 bilion dalam pelaburan yang diluluskan melalui sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, mencatatkan pertumbuhan yang luar biasa sebanyak 83.1 peratus. 

Daripada jumlah ini, 31.9 peratus adalah dalam DDI yang mencerminkan sumbangan yang kukuh kepada prestasi pelaburan negara secara keseluruhan.

Sementara itu, beliau mendedahkan lima subsektor pelaburan domestik berprestasi tinggi adalah hartanah, utiliti, hotel serta pelancongan, pertubuhan global dan elektronik & elektrik. 

“Ini adalah sektor-sektor yang jelas menunjukkan potensi yang besar bagi pertumbuhan selanjutnya memandangkan trajektori positif dalam pemulihan ekonomi,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon