B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


ECERDC berjaya tarik pelaburan komited RM6.3 bilion ke Kelantan – Menteri Besar

ECERDC berjaya tarik pelaburan komited RM6.3 bilion ke Kelantan – Menteri Besar

26 Jul 2022

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah berjaya menarik pelaburan komited bernilai RM6.3 bilion ke Kelantan dari 2018 hingga bulan ini, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata di bawah Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 2.0 (2018-2025), sasaran jumlah pelaburan bagi negeri Kelantan ialah sebanyak RM9.5 bilion.

“Selain pelaburan komited itu, ECERDC juga telah berjaya mewujudkan sebanyak 1,724 peluang pekerjaan dan 430 peluang perniagaan bagi rakyat tempatan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Penutup Hari Pelaburan Kelantan, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Hanifa Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat. 

Pada majlis sama, Ahmad turut melancarkan Dasar Pelaburan Kelantan, sebuah dokumen rujukan yang memberi gambaran berhubung ekosistem pelaburan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan dalam negeri.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata projek utama infrastruktur dan utiliti termasuk rangkaian lebuh raya, perkhidmatan jalur lebar dan perkhidmatan bekalan air sedang rancak dilaksanakan yang akan melonjakkan potensi Kelantan sebagai destinasi utama para pelabur.

“Sebagai contoh, pertambahan pelaburan sebanyak RM910 juta daripada ROHM-Wako Electronics, syarikat pengeluar elektronik terkemuka Jepun menggambarkan keyakinan pelabur untuk terus komited mengembangkan perniagaan mereka seterusnya meningkatkan potensi Kelantan sebagai hab pelaburan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon