B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MIDA pelawa peserta global ceburi aktiviti nilai tambah pertanian di Malaysia

MIDA pelawa peserta global ceburi aktiviti nilai tambah pertanian di Malaysia

14 Apr 2022

Peserta global dipelawa untuk mempelbagaikan kegiatan mereka dengan menceburi aktiviti nilai tambah dalam industri pertanian dan pemprosesan makanan di Malaysia, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata dengan memanfaatkan ekosistem perniagaan Malaysia dan rantaian bekalan tempatan yang kukuh, negara ini berfungsi sebagai destinasi ideal untuk syarikat mewujudkan hab pengeluaran serantau.

Pada masa sama, ia membolehkan negara ini memperkukuh pengeluaran makanan berasaskan pertanian, katanya dalam kenyataan bersama MIDA, Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corp) dan Enza Zaden pada Khamis.

Beliau berkata demikian susulan penyiapan kemudahan infrastruktur penyelidikan dan pembangunan (R&D) milik syarikat pembenihan sayuran terkemuka Netherlands, Enza Zaden, yang pertama di Asia Tenggara.

Kemudahan itu dinamakan Enza Zaden Asia R&D Sdn Bhd yang terletak di Sauk, Perak.

“Pusat R&D Enza Zaden menyumbang secara signifikan kepada aspirasi Malaysia untuk melaksanakan pertanian pintar melalui penggunaan teknologi pertanian dan bahan mentah mampan seiring dengan rangka kerja kebangsaan bagi jaminan makanan selain inisiatif global untuk protein berasaskan tumbuhan, ke arah mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

Beliau berkata peluang yang semakin berkembang dalam pembuatan produk makanan bernilai tinggi akan memudahkan bakat Malaysia meraih pengetahuan berkaitan proses dan pembangunan produk baharu, selain mengembangkan lagi eksport produk makanan buatan Malaysia.

Menurut MIDA, pencapaian itu memperluas rangkaian Enza Zaden dalam penyelidikan benih sayuran dan pembangunan pertanian menerusi 45 anak syarikat dan tiga usaha sama di 25 negara.

Kemudahan R&D yang berpangkalan di Malaysia itu bersedia untuk memenuhi pasaran benih pertanian di 12 negara di rantau ini dan di luar Asia Tenggara, akhirnya membolehkan petani di seluruh dunia menanam sayuran berkualiti tinggi bagi kegunaan harian lebih 450 juta orang pemakan sayuran yang ditanam daripada benih Enza Zaden di peringkat global.

Pada 2016, Enza Zaden diberikan Status BioNexus oleh Bioeconomy Corp, agensi pembangunan ekonomi di bawah penyeliaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI), yang menyediakan sokongan dan pemudahan untuk memacu industri berasaskan bio dan bioteknologi di negara ini.

Sementara itu, CEO Bioeconomy Corp, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata pihaknya yakin syarikat itu boleh membangunkan varieti benih inovatif yang sesuai untuk iklim tropika dan keadaan tanah.

“Kami yakin hasil penyelidikan dari pusat R&D ini akan memberi manfaat dan meningkatkan tahap petani tempatan selain menyumbang kepada jaminan makanan negara.

“Kami akan terus menyokong syarikat ini dan mengharapkan kejayaan masa depan mereka dalam menambah nilai industri benih global,” katanya.

CEO Enza Zaden, Jaap Mazereeuw pula berkata pelaburan terbaru syarikat berkenaan di Sauk, dibangunkan berdasarkan persekitaran kerja lebih kondusif selain kemudahan pemprosesan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) benih serba canggih.

“Sejajar dengan inisiatif untuk berkhidmat kepada petani Asia Tenggara, kami turut mengambil maklum bahawa aspek penyelidikan dan pembenihan dalam persekitaran tempatan adalah penting bagi kemudahan sistem pertanian yang mampan.

“Malah, selepas analisis terperinci, pihak Lembaga Enza memutuskan untuk melabur di Malaysia dengan mewujudkan sebuah ladang R&D berkeluasan lebih daripada 20 hektar,” katanya.

Mazereeuw berkata pihaknya juga komited untuk memperkasakan lebih banyak pekebun kecil sayur-sayuran di serata rantau ini.

Pengarah Serantau Enza Zaden, Pankaj Malik berkata langkah membuka pejabat baharu dan dibarisi pasukan khusus bagi R&D dengan pengalaman dan pengetahuan tempatan juga dapat membantu dari segi mengenal pasti keperluan pekebun serta pasaran domestik.

“Ini membolehkan kami membangunkan jenis atau varieti benih berciri terbaik dan sesuai dengan keadaan (cuaca) tempatan,” katanya.

Dalam pada itu menurut MIDA, Enza Zaden telah membuat pelaburan lebih daripada RM100 juta di Malaysia selain bertindak mengambil khidmat lebih 100 penduduk tempatan untuk bekerja di kemudahan sedia ada.

Latihan teknikal syarikat itu juga dapat menyumbang kepada pembangunan kapasiti tenaga kerja pertanian Malaysia dan menyediakan mereka dengan kemahiran masa depan.

Malah, sejajar dengan komitmen mereka untuk menggalakkan pengetahuan teknikal dalam kalangan belia, Enza Zaden turut menyediakan peluang latihan industri untuk penuntut menerusi kerjasama yang dijalinkan dengan universiti-universiti tempatan.

Syarikat Netherlands tersebut juga menawarkan program penajaan pendidikan untuk kalangan penuntut yang dapat membantu mengembangkan lagi industri pertanian tempatan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X