MIDA kekal positif terhadap prospek pelaburan R&D - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MIDA kekal positif terhadap prospek pelaburan R&D

MIDA kekal positif terhadap prospek pelaburan R&D

12 Apr 2021

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengekalkan unjuran positif terhadap pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D), seiring dengan iklim pelaburan semasa yang optimis dalam persekitaran pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arham Abdul Rahman berkata pelaburan R&D juga merupakan platform strategik bagi pertumbuhan syarikat dalam keadaan ekonomi yang mencabar atau sebaliknya.

Malah, katanya, langkah meneruskan pelaburan tersebut akan membolehkan syarikat lebih bersedia  menghadapi fasa krisis dalam tempoh pemulihan.

“Hasil kajian sebelum ini yang membabitkan beberapa fasa kemelesetan mendapati syarikat yang banyak melabur dalam R&D akan berkembang berbanding pesaing yang tidak bertindak sedemikian dan hanya berdepan risiko kemerosotan perniagaan,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada program Penyelidikan dan

Pembangunan Untuk Perniagaan (RD4B) anjuran MIDA di sini, pada Isnin.

Selain itu, Arham juga menekankan peranan R&D sebagai antara elemen terpenting bagi meraih pertumbuhan, pembangunan dan inovatif untuk industri.

Sehubungan itu, kalangan perniagaan digalakkan untuk memanfaatkan R&D bagi mempertingkat proses perniagaan, mengurangkan kos dan meraih kelebihan dari segi saingan, katanya.

Pada tahun lepas, MIDA telah meluluskan sebanyak 199 projek berkaitan R&D dengan pelaburan modal sebanyak RM3.1 bilion yang mampu mewujudkan 6,949 pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Jumlah itu merangkumi 30 syarikat R&D, 80 syarikat kontrak R&D, 46 syarikat yang mempunyai kemudahan R&D, 26 syarikat berstatus R&D serta 17 projek strategic R&D kebangsaan,” katanya.

Menurut Arham, antara sektor utama adalah elektrik dan elektronik, auto dan pengangkutan, jentera dan peralatan serta kimia dan produk berasaskannya.

Dalam pada itu, merujuk Indeks Inovasi Global 2020 (GII), beliau berkata Malaysia di tempat kedua dalam tiga ekonomi inovasi teratas meliputi kumpulan berpendapatan pertengahan sederhana-atas manakala secara keseluruhannya negara ini di kedudukan ke-33.

“Ini menjadikan Malaysia di hadapan negara-negara ASEAN lain iaitu kedua selepas Singapura.  Malaysia juga di kedudukan teratas dari segi eksport bersih berteknologi tinggi di peringkat global,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon