B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MIDA, HSBC perbaharui kerjasama tarik pelaburan

MIDA, HSBC perbaharui kerjasama tarik pelaburan

18 Ogo 2021

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan HSBC Malaysia memperbaharui kerjasama untuk menarik lebih banyak pelaburan global ke Malaysia.

Menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang diperbaharui, kedua-dua pihak akan terus memudahkan penubuhan dan pengembangan syarikat multinasional di negara ini.

MoU itu tertumpu kepada memperkasa serta membentuk semula ekonomi Malaysia ketika dan pasca COVID-19 dengan memaksimumkan peluang pelaburan langsung asing (FDI) berpotensi ke Malaysia.

Ia terutama dalam sektor pembuatan, iaitu industri elektrik dan elektronik, kimia, mesin dan peralatan, aeroangkasa dan alat perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Arham Abdul Rahman, berkata MoU itu sejajar dengan rangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, terutama dalam bidang teknologi dan inovasi.

Beliau berkata, Malaysia akan terus menjadi rakan niaga strategik untuk perniagaan di ASEAN dan seterusnya.

“Kita mempunyai kumpulan bakat mantap dan ekonomi yang pelbagai disokong oleh asas ekonomi yang kukuh.

“Lebih-lebih lagi, rantaian bekalan tempatan Malaysia berintegrasi dengan baik ke dalam rantaian nilai global, disokong oleh industri sokongan kejuruteraan tempatan yang matang dan utuh adalah faktor penarik tidak dapat dinafikan pelabur yang ingin mengembangkan kapasiti pengeluaran mereka dengan cekap dan mudah,” katanya dalam satu kenyataan.

Arham berkata, kerjasama yang diperbaharui dengan HSBC Malaysia itu juga menandakan komitmen MIDA untuk membantu pelabur dengan lebih baik dan memberikan sokongan yang lebih kukuh ketika menghadapi gelombang pandemik semasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne, berkata selama lebih 130 tahun, HSBC telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan pembangunan Malaysia.

Beliau berkata, sejarah bank itu di Malaysia bermula sejak permulaan perbankan di rantau ini dan kemudiannya, seperti sekarang, peranan bank itu adalah untuk memacu pembangunan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan dunia yang lebih luas.

“Oleh itu, kami menghargai kerjasama penting ini antara HSBC dan MIDA. Kedua-dua organisasi mula bekerjasama secara jangka panjang pada 2016 yang menunjukkan kepercayaan MIDA kepada HSBC sebagai antara peneraju bank antarabangsa di Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon