B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MIDA gesa syarikat tempatan manfaatkan elaun pelaburan semula tambahan untuk melabur semula

MIDA gesa syarikat tempatan manfaatkan elaun pelaburan semula tambahan untuk melabur semula

27 Mei 2022

Syarikat Malaysia perlu merebut peluang untuk melabur semula di negara ini dengan memanfaatkan elaun pelaburan semula tambahan (RA) yang ditawarkan bagi tahun taksiran 2020-2024.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi Penggalakan dan Pemudahan Pelaburan Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata inisiatif Elaun Pelaburan Semula tambahan itu diumumkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana). 

Elaun Pelaburan Semula merupakan insentif untuk menggalakkan syarikat melabur semula dan mengembangkan perniagaan mereka. 

Syarikat tempatan yang beroperasi tidak kurang daripada 36 bulan yang memerlukan perbelanjaan modal untuk mengembang, memoden, mengautomasi atau mempelbagaikan perniagaan pembuatan sedia adanya atau projek pertanian yang diluluskan layak untuk memohon Elaun Pelaburan Semula. 

Elaun itu diberikan bagi tempoh 15 tahun bermula daripada tahun pertama tuntutan, berdasarkan kepada 60 peratus daripada perbelanjaan modal yang ditanggung bagi projek yang layak.

Bercakap semasa forum bertajuk ‘How to Revive Domestic Direct Investment?’ (Bagaimana Untuk Memulihkan Pelaburan Langsung Domestik?) anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Sivasuriyamoorthy berkata berlaku salah faham dalam kalangan syarikat yang beranggapan bahawa kerajaan terlalu menumpu dan memberi insentif kepada pelabur asing berbanding pemain tempatan. 

Beliau menjelaskan bahawa pemain domestik menikmati lebih banyak insentif pelaburan berbanding pelabur asing dan pelaburan domestik merupakan penyumbang utama kepada pelaburan diluluskan dalam ekonomi negara. 

Menurutnya, dari tempoh 2012 hingga 2021, pelaburan domestik diluluskan menyumbang RM1.3 trilion atau 64 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

Sivasuriyamoorthy berkata semasa tempoh itu, Pelaburan Langsung Domestik (DDI) menyumbang 84.2 peratus atau kira-kira RM1.01 trilion kepada sektor perkhidmatan, manakala Pelaburan Langsung Asing (FDI) sebanyak 15.8 peratus atau RM190.4 bilion.

Manakala pelaburan dalam sektor pembuatan dikuasai oleh FDI sebanyak 64.5 peratus atau RM527.6 bilion, manakala DDI sebanyak 35.5 peratus atau RM290.8 billion.

“Kita sedar bahawa banyak lagi yang perlu kita lakukan dalam bahagian ini, kita perlu menarik lebih banyak syarikat Malaysia untuk melabur dalam sektor pembuatan. 

“Dalam sektor perkhidmatan, banyak pelaburan disalurkan ke aktiviti hartanah dan perkhidmatan lain,” katanya.

Beliau berkata MIDA juga memohon dana tambahan bagi Geran Automasi Pintar, Elaun Modal Automasi (Automation CA) dan Dana Intervensi Industry4WRD diperuntukkan kepada syarikat tempatan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon