B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Galakkan DDI secara agresif sama Seperti FDI – Mustapa

Galakkan DDI secara agresif sama Seperti FDI – Mustapa

27 Mei 2022

Malaysia perlu menggalakkan pelaburan langsung domestik (DDI) secara agresif sama seperti yang dilakukan bagi pelaburan langsung asing (FDI), kerana kedua-duanya sama penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata mencapai keseimbangan antara DDI dan FDI adalah penting kerana kedua-duanya saling melengkapi.

“Dalam melangkah maju, Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan sektor swasta untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih mesra dan cekap untuk pelabur domestik dan asing.

“Kerajaan akan terus mengadakan libat urus dan perbincangan terbuka untuk mengumpulkan maklum balas yang membina daripada komuniti perniagaan dan pelaburan,” katanya pada forum ‘How to Revive Domestic Direct Investment?’ (Bagaimana untuk Merancakkan Kembali Pelaburan Langsung Domestik) secara maya anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) pada Jumaat.

Mustapa berkata kerajaan mengakui keperluan untuk meningkatkan pelaburan swasta bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.

“Matlamatnya untuk pelaburan swasta meningkat 3.8 peratus setahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berbanding 1.2 peratus setahun dalam RMK11,’’ katanya.

Beliau berkata bagi tujuan itu, kerajaan sedang berusaha mengembangkan dan melaksanakan dasar yang membolehkan negara merealisasikan potensi ekonomi dalam jangka masa sederhana hingga panjang.

Pelaburan swasta penting untuk memacu ekonomi yang mampan pasca-COVID-19, katanya.

Beliau berkata sebelum pandemik itu melanda, pelaburan swasta meningkat sebanyak 4.8 peratus setiap tahun dari 2016 hingga 2019.

Bagaimanapun pada 2020, ia susut sebanyak 11.9 peratus, sebelum mencatatkan peningkatan semula secara sederhana 2.6 peratus pada 2021, katanya.

Beliau berkata pelaburan swasta menyumbang 15.6 peratus kepada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2021.

Mustapa berkata RMK12 bertujuan memulakan semula dan memberikan nafas baru kepada  pembangunan sosio-ekonomi Malaysia untuk kemampanan dan kemakmuran jangka masa panjang di samping menambah baik kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan juga menerima pakai Aspirasi Pelaburan Nasional bagi menyegarkan semula iklim pelaburan Malaysia dengan meletakkan pendekatan komprehensif untuk mempertingkatkan ekosistem pelaburan dalam bertindak balas terhadap aliran yang sedang pesat serta memenuhi keperluan pelabur yang semakin berkembang,’’ katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X