B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MIDA, Bank Islam meterai MoU bagi pembangunan ekosistem pelaburan domestik

MIDA, Bank Islam meterai MoU bagi pembangunan ekosistem pelaburan domestik

10 Mac 2022

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Bank Islam Bhd (Bank Islam) memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bagi menyediakan platform kewangan serta perkhidmatan perbankan menyeluruh untuk pelabur domestik dan asing sedia ada serta baharu di negara ini.

Usaha itu antara lainnya membolehkan pelabur perusahaan kecil dan sederhana (PKS) asing untuk melakukan usaha sama dan memperkukuh kehadiran dalam pasaran di Malaysia selain menyumbang kepada pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

“Kerjasama MIDA dan Bank Islam ini akan menyediakan platform kepada lebih 3,000 pelanggan PKS dalam portfolio kami bagi mendapatkan akses dan peluang diperlukan untuk mengembangkan tawaran mereka ke pasaran asing,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Mohd Muazzam Mohamed dalam satu kenyataan hari ini.

MoU terbabit telah dimeterai oleh Pengarah Bahagian Pelaburan Domestik MIDA  Sukri Abu Bakar dan Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan – Runcit  Bank Islam Mizan Masram.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata menerusi kerjasama itu, MIDA berharap untuk memanfaatkan peluang seumpamanya bagi menggalakkan pelbagai kemudahan pengumpulan dana.

“Ini bagi memperkasa dan membiayai aspek pertumbuhan komersial, idea serta perniagaan yang menguntungkan dan membolehkan usahawan dan pemilik perniagaan untuk mengumpulkan dana daripada pasaran awam dan swasta,” katanya.

Beliau juga menyifatkan PKS sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia dengan menyumbang lebih satu pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih empat juta pekerja di Malaysia.

Selain itu,  MoU berkenaan juga memaparkan komitmen berterusan MIDA dalam mendapatkan projek pelaburan berteknologi tinggi, bernilai tinggi serta inovatif daripada syarikat asing serta tempatan.

Kerjasama terbabit juga tepat pada masanya bagi menyalurkan sokongan kewangan sewajarnya kepada kalangan penggiat industri, terutama pelabur domestik untuk memperluas usaha kerajaan dalam memberi kemudahan pelaburan di Malaysia serta sejajar dengan kerangka Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon