B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Micron Technology labur lebih US$150 bilion secara global dalam pembuatan dan R&D sehingga 2030

Micron Technology labur lebih US$150 bilion secara global dalam pembuatan dan R&D sehingga 2030

05 Nov 2021

Micron Technology Inc, satu-satunya firma penyedia penyelesaian memori yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan antara pengeluar semikonduktor terbesar di dunia, bercadang untuk melabur lebih daripada US$150 bilion (AS$1=RM4.15) secara global sehingga tahun 2030.

Pelaburan itu adalah untuk pembuatan dan penyelidikan memori termaju serta penyelidikan serta pembangunan (R&D) termasuk potensi mengembangkan fabrikasi AS dalam dekad akan datang.

Penyelesaian memori dan storan ialah sebahagian daripada industri semikonduktor global yang semakin pesat berkembang, dan hari ini ia mewakili kira-kira 30 peratus daripada pasaran semikonduktor.

Pemacu pertumbuhan sekular seperti 5G dan kecerdasan buatan akan mengembangkan penggunaan memori dan storan merentasi pusat data dan kelebihan pintar serta dalam bidang seperti automotif dan kepelbagaian peranti pengguna.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sanjay Mehrotra berkata pelaburan itu akan menangani peningkatan permintaan untuk penyelesaian memori yang amat penting bagi semua pengkomputeran.

“Penerajuan Micron dalam kedua-dua teknologi memori akses rawak dinamik (DRAM) dan NAND serta kekuatan pelan hala tuju membolehkan kami melabur lebih US$150 bilion dan yakin dapat mengembangkan inovasi memori peneraju industri kami ke dekad akan datang serta  mampu menyampaikan produk yang berbeza kepada pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Setakat ini, Micron mempunyai rangkaian pembuatan dan R&D global di lebih 13 negara dan memiliki lebih 47,000 paten.

Beliau berkata syarikat juga ingin bekerjasama dengan kerajaan di seluruh dunia, termasuk di AS yang mana pembiayaan cip dan Akta ‘Facilitating American-Built Semiconductors’ (FABS) akan membuka pintu kepada pelaburan industri baharu.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif (operasi global) Manish Bhatia berkata syarikat berkenaan amat optimis dengan pelaburannya di Malaysia, didorong oleh gelombang positif sektor semikonduktor dan ekonomi digital.

“Kami mempunyai operasi pemasangan dan ujian yang meluas di Muar, Perai dan Batu Kawan, Pulau Pinang. Kawasan-kawasan ini menerima pelaburan yang besar pada masa lepas dan dan kami sedang mengembangkan pelaburan itu agar kami dapat  menghasilkan produk yang lebih maju,” katanya.

“Kami sentiasa mengambil dan menambah bilangan jurutera, pengendali dan juruteknik berkemahiran. Tenaga kerja kami kini telah berkembang kepada lebih 4,000 orang di Malaysia dengan lebih 99 peratus kakitangan adalah orang tempatan.”

Bhatia berkata dengan permintaan yang kukuh dalam perniagaan penyelesaian memori dan storan, syarikat itu yakin mencatatkan hasil dan margin keuntungan yang sihat pada 2022.

“Pasaran Malaysia sudah tentu bersedia untuk pulih dengan baik daripada pandemik dan kita akan melihat peningkatan dalam permintaan untuk produk akhir seperti komputer peribadi dan telefon mudah alih.

“Kami menjangkakan unit perniagaan NAND dan DRAM kami berkembang untuk memenuhi peratusan yang tinggi tahun ke tahun bagi beberapa tahun akan datang dan itu akan memacu pendapatan kami pada masa hadapan,” tambahnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon