B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MARA, AMI perkenal motosikal jenama tempatan tahun hadapan

MARA, AMI perkenal motosikal jenama tempatan tahun hadapan

23 Ogo 2022

Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memperkenalkan motosikal jenama tempatan ke pasaran Malaysia selewat-lewatnya pada suku ketiga tehun depan melalui kerjasamanya dengan AFY Mobility Industries Sdn Bhd (AMI).

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kerjasama yang diusahakan melalui Projek AM-2 itu akan membawa MARA selangkah lagi ke hadapan khususnya dalam industri teknologi permotoran.

Melalui kerjasama itu katanya, ia akan membuka peluang penempatan latihan industri kepada pelajar-pelajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) MARA, menerusi latihan praktikal yang dikendali secara langsung oleh tenaga pakar AMI yang berkonsepkan “Teaching Factory”.

“Kerjasama daripada aspek penyelidikan telah pun bermula dengan membangunkan Pusat Pembangunan Produk untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) melibatkan gabungan kepakaran daripada pasukan R&D AMI dan German-Malaysian Institute (GMI),” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Motosikal Jenama Tempatan AM-2 di sini hari ini.

Beliau berkata, kerjasama itu juga akan membantu mempercepatkan lagi proses pembangunan vendor dan tenaga kerja mahir serta R&D di peringkat MARA.

Kerjasama kedua-dua pihak itu turut merangkumi pelaburan strategik bagi membangunkan jenama dan hab pengeluaran motosikal Malaysia untuk pasaran domestik dan rantau Asia Pasifik, tambahnya.

“Turut diberi tumpuan, pembangunan vendor dan usahawan Bumiputera yang secara tidak langsung akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AMI Ahmad Faez Yahaya berkata, pembinaan motosikal di bawah projek tersebut telah dimulakan sejak 2020 dengan menumpukan kepada pengeluaran motosikal kapcai dan skuter, menggunakan kepakaran tempatan. 

“Projek motosikal ini dimulakan dengan pembangunan konsep hingga pengeluaran yang dihasilkan di kilang kami di Shah Alam dan sebuah lagi kilang akan dibina di utara Semenanjung,“ katanya. 

Beliau berkata AMI menyasarkan untuk penguasaan pasaran sebanyak lima peratus daripada kira-kira 670,000 unit penjualan motosikal di Malaysia untuk setahun.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon