B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Manfaatkan kelebihan daya saing, tingkatkan usaha rebut FDI – Kata ahli ekonomi

Manfaatkan kelebihan daya saing, tingkatkan usaha rebut FDI – Kata ahli ekonomi

26 Jan 2021

Ketika para pelabur masih bergelut dengan kesukaran berkaitan ekonomi akibat daripada pandemik kesihatan yang berlarutan sepanjang tahun, kumpulan pemikir yakin pelaburan langsung asing (FDI) bakal kembali dengan kukuh ke Malaysia, jikapun tidak menyamai paras seperti sebelum COVID-19. 

Malaysia tidak terkecuali dalam persaingan sengit untuk mendapatkan dana.

Menurut Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNTACD), pelaburan langsung asing (FDI) dunia hanya dijangka pulih pada 2022. Ia diunjur menyusut sehingga 40 peratus pada 2020, daripada nilai US$1.54 trilion pada 2019, kali pertama sejak 2005 FDI jatuh di bawah paras US$1 trilion.

Pada 2021, FDI diunjur susut sebanyak lima hingga 10 peratus lagi.

Bagaimanapun dengan kelebihan daya saing negara dari segi logistik terbaik serta kemudahan prasarana fizikal,  zon perindustrian strategik hinggalah kepada bekalan tinggi tenaga kerja mahir, situasi itu dijangka berubah tidak lama lagi, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Dan ini merupakan salah satu daripada ciri-ciri yang membezakan Malaysia dari negara-negara lain di rantau ini.

“Namun berita atau perkembangan (pelaburan merosot) seperti ini memberi isyarat bahawa Malaysia perlu cakna tentang keperluan para pelabur supaya mereka kekal melabur di sini dan terus mengembangkan perniagaan mereka di sini.

“Justeru, isu-isu seperti birokrasi serta perkongsian maklumat berkenaan insentif pelaburan serta bagaimana kerajaan serta pihak berwajib membantu dalam pelaburan mereka di Malaysia perlu dipertingkatkan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata perlu ada penyelarasan padu dalam kalangan kementerian dan agensi kerajaan untuk mempermudah dan membina persekitaran yang lebih baik bagi syarikat tempatan dan antarabangsa untuk melabur di negara ini. 

“Secara keseluruhan, prospek pelaburan bagi tahun 2021 sememangnya mencabar meskipun terdapat prospek yang baik.

“Ini seperti suasana luaran yang lebih positif selepas Presiden Amerika Syarikat yang baru dilantik Joe Biden mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai AS$1.9 trilion.

“Di samping itu terdapat jangkaan sektor teknologi akan mencatatkan prestasi memberangsangkan hasil jualan semikonduktor di peringkat global yang diunjur tumbuh 8.4 peratus pada tahun ini dan ekonomi China semakin pulih  di samping pelaksanaan program pemvaksinan di peringkat global yang bakal memudahkan proses pembukaan ekonomi untuk terus berlangsung pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu, persekitaran kadar faedah rendah yang dijangkakan pada 2021 akan membantu menggalakkan aktiviti berian pinjaman dan pembiayaan dalam kalangan usahawan bagi tujuan mengembangkan kapasiti pengeluaran dan produktiviti. 

Mohd Afzanizam berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) bagi membendung penularan COVID-19 telah mengehadkan aktiviti perniagaan dan mungkin menjejaskan usaha pengembangan perniagaan di dalam negara. 

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub percaya kerajaan memiliki kelebihan untuk menarik lebih banyak pelaburan daripada kalangan ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik dan ASEAN, antara lainnya berikutan hubungan erat mereka. 

“Saya menilai Malaysia masih lagi lokasi tumpuan dan mampu menarik pelaburan mega tetapi bukan tahun ini, kerana pemain industri dan pelabur antarabangsa juga terkesan dengan penguncupan ekonomi dunia yang memerlukan mereka memperlahankan perancangan dan menyusun semula strategi pelaburan.

“Maka penarikan pelaburan jika berlaku, tidak menggambarkan situasi pelaburan negara semasa yang sebenar,” katanya.

Mohammad Tawfik berkata kerajaan dilihat bersedia untuk merancakkan semula FDI di negara ini menerusi dua kementerian khas – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal ekonomi yang diterajui Datuk Seri Mustapha Mohamed.

“Sudah pasti pengalaman kedua-dua menteri ini mampu menarik lebih banyak pelaburan asing yang hanya menunggu isyarat daripada kerajaan untuk mula masuk ke Malaysia khususnya selepas vaksin diperoleh dan diagihkan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau juga mengesyorkan kerajaan mengurangkan tarif cukai semasa dan melaksanakan pengurangan secara berperingkat bagi menarik pelabur asing baharu. 

“Malah insentif-insentif kepada pelabur luar yang lebih berfokus misalnya kadar premium penyewaan dan pemilihan lokaliti yang strategik juga memainkan peranan.

“Misalnya meluaskan lagi kawasan industri yang strategik seperti di Kulim Hi-Tech Park di Kedah yang bakal dibangunkan lapangan terbang kargo dan pada waktu yang sama lebih dekat dengan pelabuhan di Pulau Pinang berbanding akses di lokaliti lain yang hanya mempunyai satu kemudahan (sama ada lapangan terbang ataupun pelabuhan).

“Di kulim kedah, jarak antara pelabuhan dengan tapak lapangan terbang kargo kulim yang bakal dibina hanya sekitar 20 minit sahaja,” katanya.

Menurut MITI, dalam tempoh sembilan bulan 2020, Malaysia merekodkan pelaburan dilulus dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer berjumlah RM109.8 bilion.  

Sektor pembuatan menyumbang RM65.3 bilion atau 59.5 peratus, diikuti perkhidmatan (RM42.8 bilion atau 39.0 peratus) dan sektor primer (RM1.7 bilion atau 1.5 peratus).

Pelaburan ini melibatkan 2,935 projek dan bakal mewujudkan 64,701 peluang pekerjaan di Malaysia.

Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 61.2 peratus atau RM67.2 bilion, manakala FDI merangkumi selebihnya atau RM42.6 bilion.

Lima sumber utama FDI yang diluluskan bagi tiga sektor ialah China (RM17 bilion), Singapura (RM8 bilion), Amerika Syarikat (RM2.8 bilion), Switzerland (RM2.8 bilion) dan Belanda (RM2.4 bilion).

Berbanding tempoh yang sama tahun lepas, DDI dalam sektor pembuatan melonjak 45.5 peratus kepada RM25.9 bilion manakala nilai FDI diluluskan meningkat sebanyak 3.2 peratus kepada RM39.4 bilion.

Bagi 2021, MITI telah mengenal pasti 23 projek berimpak tinggi yang berpotensi membawa masuk pelaburan bernilai RM75.4 bilion ke dalam negara.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon