Mamee kerjasama dengan MIDA teroka pasaran dunia - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Mamee kerjasama dengan MIDA teroka pasaran dunia

Mamee kerjasama dengan MIDA teroka pasaran dunia

17 Nov 2022

Syarikat makanan dan minuman, Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd terus meneroka dan mengembangkan pasarannya ke serata dunia hasil gandingan kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Pengurus Kanan Perhubungan Korporat Mamee Sharszany Shahry Abu Shahriman berkata kerjasama dengan badan agensi kerajaan itu antara lain dapat mengukuhkan lagi operasi harian syarikat berkenaan.

“Selama ini kerjasama kukuh antara kedua pihak telah membantu Mamee menjadi syarikat makanan dan minuman Malaysia bertaraf multinasional dengan eksport ke lebih 80 negara, termasuk Jordan, Australia, Thailand, Singapura, Indonesia, Myanmar dan Filipina,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, kerjasama itu juga diperluas dengan status ‘Principal Hub’ yang mendapat kelulusan MIDA baru-baru ini yang mewujudkan suatu bentuk transformasi untuk Mamee dari segi pengoperasian dan komersial.

“Secara operasi, Mamee berkeupayaan melabur dalam teknologi Revolusi Industri 4.0 dengan mengautomasikan kilang produksi untuk meningkatkan kadar kecekapan, selain mengilangkan lebih banyak produk berkualiti untuk pengguna serata dunia.

“Secara komersial pula, Principal Hub akan membantu Mamee menjadi ‘proposisi’ yang menarik untuk rakan niaga lain di serata dunia,” katanya.

Selain itu, Sharszany Shahry berkata kolaborasi itu juga membantu Mamee membina rangkaian jenama yang lebih kuat di peringkat global dengan terbaharu peluang pasaran ke benua Afrika selepas dijemput MIDA ke program bersama negara-negara Afrika baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Mamee sentiasa menerapkan penambahbaikan dalam operasi sehariannya dari segi pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) seperti digalakkan kerajaan.

“Ia termasuk menyediakan sistem penuaian air hujan dan teknologi panel solar untuk pematuhan alam sekitar serta menjaga kebajikan para pekerja dengan menyediakan persekitaran kerja kondusif dan makanan berkualiti.

“Bagi tadbir urus pula, meskipun Mamee merupakan perniagaan yang diuruskan oleh ahli keluarga serta merupakan perniagaan swasta, Mamee sentiasa menerapkan asas membina perniagaan ini berteraskan meritokrasi dan akauntabiliti,” katanya.

Sharszany Shahry berkata untuk pelan jangka panjang, Mamee kini melabur dalam rangkaian perniagaan permulaan (start-ups) bagi perkhidmatan perniagaan makanan dan minuman tertentu di bawah Mamee Ventures, antaranya The Good Crisps Company di Amerika Syarikat.

Katanya, Mamee juga mempunyai rangkaian kerjasama sedia ada dengan Hausboom di bawah naungan The Boom Bevlab, selain Daebak bersama Shinsegae Food Korea dan tidak lama lagi Better Baker untuk produk kek serta biskut.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon