B. Malaysia

|

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia, UK lancar buku panduan mengenai bandar raya pintar

Malaysia, UK lancar buku panduan mengenai bandar raya pintar

22 Jun 2021

Malaysia dan United Kingdom (UK) bersama melancarkan buku panduan bertajuk “Smart City Handbook: Malaysia” bagi memupuk kolaborasi dan kerjasama dalam aspek pembangunan bandar raya pintar antara dua negara.

Buku panduan itu menggariskan beberapa aspek landskap bandar raya pintar di seluruh Malaysia di samping menampilkan contoh kepakaran serta projek-projek bandar raya pintar UK.

Bercakap di majlis pelancaran pada Selasa, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin berkata buku panduan itu juga menyenaraikan cadangan-cadangan mengenai bagaimana cara dan di mana syarikat-syarikat UK boleh membantu Malaysia dalam menguruskan serta menyelesaikan pelbagai isu dalam membangunkan bandar raya pintar dan lestari.

Turut mengikuti majlis pelancaran yang diadakan secara maya itu ialah Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay.

Dalam ucapan pembukaannya Zuraida berkata kerajaan Malaysia komited untuk mengubah bandar raya di Malaysia menjadi bandar raya pintar dan lestari, yang merupakan agenda nasional yang utama.

Beliau berkata Kerangka Kerja Bandar Raya Pintar Malaysia yang dilancarkan pada Sept 2019, bertindak sebagai garis panduan dan rujukan nasional, terutama bagi bandar raya dan pihak berkuasa tempatan serta lain-lain pemegang taruh yang berkaitan dalam membangunkan serta melaksanakan inisiatif bandar raya pintar.

Katanya bandar raya seperti Kuala Lumpur, Johor, Putrajaya, George Town dan Kota Kinabalu telah melaksanakan pelbagai inisiatif bandar raya pintar, dan beberapa inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan negara luar seperti UK serta pertubuhan antarabangsa seperti The United Nations Human Settlements Programme (UN-Habitat) dan Mott MacDonald sebagai rakan penyampai.

Zuraida berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkuasa tempatan yang berkaitan dan akan menjadi fasilitator kepada pelaksanaan bandar raya pintar, di samping menyampaikan maklumat berhubung peluang-peluang yang terdapat dalam negara untuk pembangunannya.

“Dalam perkara ini, KPKT ingin mencari rakan kerjasama strategik serta peluang-peluang pelaburan bagi membantu dalam pembiayaan bandar raya pintar,” katanya.

Sementara itu Hay berkata Malaysia dan UK memiliki hubungan kerjasama dua hala yang lama serta akrab, dan pelancaran buku panduan hari ini adalah contoh terbaik dalam kerjasama moden, yang ditingkatkan bagi menggambarkan usaha menghadapi cabaran-cabaran baharu, terutama dalam mengguna pakai teknologi-teknologi baharu.

“Urbanisasi sedang berlaku dengan pantas di serata dunia, kita memiliki pengalaman luas untuk dikongsi terutama dalam bidang kreatif seperti inovasi, teknologi digital, Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan,” katanya.

Beliau berkata UK sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa pembangunan di Iskandar Malaysia dan Melaka di bawah program ‘Prosperity Fund Global Future Cities Programme 2019 – 2022’ UK.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X