B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia, UAE bersetuju tingkatkan kerjasama, lonjakkan peluang ekonomi

Malaysia, UAE bersetuju tingkatkan kerjasama, lonjakkan peluang ekonomi

10 Feb 2021

Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju untuk meningkatkan kerjasama, khususnya dalam merangsang peluang ekonomi memandangkan kedua-dua negara menumpukan kepada pemulihan ekonomi yang kukuh dan berdaya tahan selepas berakhirnya pandemik COVID-19.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa UAE Sheikh Abdullah bin Zayed mengadakan pertemuan yang konstruktif dan produktif semalam, dan kedua-dua menteri berpuas hati dengan kedudukan hubungan dua hala semasa di antara kedua-dua negara.

“Dalam konteks ini, kedua-dua menteri berbincang tentang inisiatif penting di bawah empat bidang utama kerjasama dalam era selepas pandemik, iaitu perdagangan dan pelaburan; pertanian dan keselamatan makanan; kesihatan; dan pertukaran diplomatik,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian, lawatan kerja itu menyediakan dorongan  baharu ke arah hubungan yang lebih kukuh dan mesra di antara Malaysia dan UAE, di samping menjadi antara rakan dagangan utama Malaysia dengan nilai keseluruhan perdagangan di antara kedua-dua negara berjumlah US$6.43 bilion pada 2019.

UAE juga merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia dan sumber import kedua terbesar di wilayah Asia Barat, kata kementerian itu.

Menurut kenyataan itu, berikutan kedudukannya yang  strategik di Asia Tenggara, Malaysia komited menjadi pintu gerbang kepada UAE memasuki pasaran Asia Tenggara yang mempunyai populasi sekitar 650 juta orang. Hishammuddin kembali ke tanah air pada 9 Feb (hari ini) dan akan menjalani kuarantin wajib sebagai mematuhi prosedur operasi standard COVID-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, kata kementerian itu.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon