B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia terus tumpu tangani cabaran luar tahun ini

Malaysia terus tumpu tangani cabaran luar tahun ini

20 Feb 2023

Malaysia akan terus menumpu untuk menangani cabaran luar dan kesannya terhadap ekonomi domestik pada tahun ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, momentum pertumbuhan yang dijana Malaysia pada 2022, hasil daripada dasar tegas untuk melindungi ekonomi dan pekerjaan sejak Mac 2020, akan memacu negara kehadapan pada tahun ini.

Tengku Zafrul berkata, semasa tempoh pandemik, Malaysia melaksanakan pelbagai langkah untuk mengukuhkan daya tahannya dan ia telah membantu menyokong pemulihan ekonomi negara selain mengukuhkan asasnya.

“Jelas sekali, keluaran dalam negara kasar Malaysia pada 2022 mengatasi jangkaan, merekodkan pertumbuhan 8.7 peratus, yang tertinggi dalam tempoh 22 tahun.

“Ini diiring oleh petunjuk makroekonomi yang positif seperti angka pekerjaan dan inflasi yang bertambah baik, yang terus menyederhana,” katanya pada sesi perangkaian Tahun Baru Cina kementeriannya, di sini, hari ini.

Menurutnya, prospek ekonomi Malaysia adalah memberangsangkan dengan jumlah perdagangan pada 2022 melepasi RM2 trilion dan eksport berkembang 25 peratus kepada RM1.6 trilion.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia juga mengatasi angka sasaran eksport RM1.25 trilion menjelang 2025 yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), tiga tahun lebih awal daripada yang disasarkan.

Bagaimanapun, susulan jangkaan tahun yang sukar pada tahun ini, beliau berharap semua pemegang kepentingan dapat bekerjasama rapat dengan kementeriannya dalam membantu industri dan pengeksport, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana, untuk membina daya tahan menghadapi cabaran mendatang.

Apabila diminta media untuk mengulas mengenai prestasi perdagangan bulan Januari Malaysia yang diumumkan awal hari ini, beliau berkata 2023 akan menjadi tahun mencabar bagi ekonomi global.

“Kita melihat prospek lebih mencabar bagi ekonomi global tahun ini. Ini akan memberi impak kepada negara yang bergantung kepada eksport dan import serta ekonomi terbuka seperti Malaysia,” katanya.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) awal hari ini mengumumkan Malaysia mengekalkan prestasi perdagangan yang memberangsangkan pada Januari 2023 dengan perdagangan, eksport dan import mencatatkan nilai bulanan tertinggi bagi bulan Januari.

Menurut kementerian itu, perdagangan berkembang sebanyak 1.9 peratus tahun ke tahun kepada RM207.51 bilion dengan eksport meningkat sebanyak 1.6 peratus kepada RM112.84 bilion dan import naik sebanyak 2.3 peratus kepada RM94.67 bilion.

Mengulas mengenai kadar pengangguran negara, Tengku Zafrul berkata, angka tersebut dijangka terus turun sejajar dengan pertumbuhan ekonomi.

“Apabila kita melihat kadar pengangguran negara, kita perlu melihatnya secara menyeluruh. Kadar pengangguran mencecah kemuncaknya pada 5.3 peratus pada Mei 2022 dan hari ini pada 3.6 peratus dan Gabenor Bank Negara Malaysia (Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus) menyatakan keadaan pengangguran semakin bertambah baik.

“Jadi dengan ekonomi berkembang pada 8.7 peratus tahun lepas dan diunjur terus berkembang dan bank pusat menyatakan ia tidak menjangkakan kemelesetan, kadar pengangguran seharusnya menjadi lebih rendah,” katanya. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon