B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia tarik pelaburan RM123.3 bilion dari Januari hingga Jun

Malaysia tarik pelaburan RM123.3 bilion dari Januari hingga Jun

02 Sep 2022

Malaysia telah menarik pelaburan yang diluluskan bernilai RM123.3 bilion (US$28.0 bilion) dalam sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan merangkumi 1,714 projek dari Januari hingga Jun 2022 termasuk membuka 57,771 peluang pekerjaan.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan hari ini berkata pelaburan langsung asing (FDI) kekal sebagai penyumbang utama iaitu pada 70.9 peratus atau RM87.4 bilion (US$19.9 bilion), manakala pelaburan daripada sumber domestik menyumbang 29.1 peratus berjumlah RM35.9 bilion (US$8.2 bilion).

Dalam tempoh ini, sektor perkhidmatan memainkan peranan penting dalam pemacuan pemulihan ekonomi negara, menyumbang 63.3 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan atau RM78.0 bilion (US$17.7 bilion) daripada 1,351 projek. 

Ia merekodkan kenaikan 48.8 peratus berbanding RM52.4 bilion (US$12.6 bilion) dalam nilai pelaburan bagi tempoh enam bulan pertama tahun sebelumnya.

Sebanyak 22,569 pekerjaan baharu dijangka diwujudkan dalam sektor perkhidmatan bagi 2022.

Sektor perkilangan mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM43.1 bilion (US$9.8 bilion), menyumbang 34.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan berbanding RM75.8 bilion (US$18.3 bilion) bagi tempoh Januari-Jun 2021. 

MIDA menjelaskan sebuah projek mega yang telah diluluskan menyumbang kepada jumlah pelaburan yang tinggi dalam sektor perkilangan pada tempoh 2021.

Daripada jumlah FDI yang diluluskan, China mendominasi pelaburan bernilai RM48.6 bilion (US$11 bilion), diikuti Jerman (RM9 bilion) (US$2 bilion), Singapura (RM6 bilion) (US$1.4 bilion), Brunei (RM5.1 bilion) (US$1.2 bilion) dan Belanda (RM4.1 bilion) (US$900 juta). 

Bagi projek yang diluluskan kerajaan, MIDA berkata lima negeri utama iaitu Johor, Selangor, Sabah, Kedah dan Pulau Pinang, menyumbang RM103.5 bilion (US$23.5 bilion) atau 83.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

Menurut Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Malaysia berada di landasan yang betul untuk memperoleh lebih banyak projek berkualiti, berimpak tinggi serta berintensifkan modal, dengan perkhidmatan menjadi pemacu pertumbuhan utama ekonomi dan penyumbang terbesar pelaburan yang diluluskan bagi separuh pertama tahun ini.

“Dalam mengekalkan momentum ini, MITI akan terus mengukuhkan daya saing negara melalui pembangunan ekonomi yang kompleks, memupuk ekosistem perindustrian yang kukuh dengan intensiti inovasi, meningkatkan keterangkuman dengan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi termasuk mempromosikan peluang untuk mengambil bahagian dalam rantaian bekalan serantau dan global. 

“Dipacu oleh Aspirasi Pelaburan Nasional, kami akan mempergiatkan fokus kami ke arah sektor seperti ekonomi digital, elektrik dan elektronik, farmaseutikal, kimia serta aeroangkasa yang mempunyai potensi ekonomi yang signifikan dan pertumbuhan jangka panjang yang mampan,” katanya.

MIDA berkata kerajaan telah membariskan misi perdagangan serta pelaburan yang strategik dan fokus yang disasarkan bagi meraih pelaburan dalam industri berteknologi tinggi, inovasi serta penyelidikan yang akan melengkapkan dan mengukuhkan lagi ekosistem perindustrian Malaysia. 

Pelaburan asing merangkumi bahagian terbesar, mencatatkan RM50.4 bilion (US$11.5 bilion) atau 64.6 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk sektor perkhidmatan, manakala baki 35.4 peratus, atau RM27.6 bilion (US$6.3 bilion) adalah daripada sumber domestik.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon