B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia, Singapura fokus kepada pelaburan, inovasi bagi memacu pemulihan ekonomi

Malaysia, Singapura fokus kepada pelaburan, inovasi bagi memacu pemulihan ekonomi

11 Ogo 2022

Malaysia dan Singapura bersetuju untuk memberi tumpuan kepada meningkatkan pelaburan dan inovasi dalam memacu pemulihan ekonomi pada pasca pandemik.

Langkah itu akan mengukuhkan lagi fokus Iskandar Malaysia terhadap pemulihan sosial dan ekonomi yang disokong oleh ekosistem berdaya tahan, kata kedua-dua negara dalam satu kenyataan bersama selepas mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) Ke-15 di sini hari ini. 

“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura (EDB) juga akan secara aktif menjalankan lebih banyak aktiviti promosi pelaburan bersama pada 2022/2023 untuk memudahkan pelaburan di Iskandar Malaysia.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam program latihan pendidikan teknikal dan vokasional,” kata kenyataan itu.

JMCIM juga turut menekankan kepentingan dalam menyediakan pelbagai jenis pengangkutan dan pilihan penyambungan lain untuk perjalanan merentas sempadan di antara Malaysia dan Singapura.

“Bagi tujuan ini, JMCIM mengalu-alukan perkhidmatan feri baharu antara Singapura dan Desaru yang bermula bulan lepas.

“Kumpulan Kerja Imigresen terus bekerjasama rapat untuk memastikan kelancaran pergerakan orang ramai dan barangan merentas sempadan dan telah berjaya menguruskan bilangan pengembara yang meningkat sejak sempadan darat dibuka semula pada 1 April, 2022,” katanya.

JMCIM juga mengalu-alukan rancangan Singapura untuk membangunkan semula dan memperbesar Pusat Pemeriksaan Woodlands bagi meningkatkan keselamatan, membolehkan lebih banyak proses automatik dilaksanakan melalui Konsep Pelepasan Baharu Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), serta mengurangkan tempoh menunggu.

“Malaysia juga merancang untuk mengadakan lorong M-BIKE tambahan bagi meningkatkan aliran trafik. Projek ini akan dikenali sebagai M-Bike 2.0.

“JMCIM menyatakan bahawa Kumpulan Kerja Penyambungan Pengangkutan juga akan mengkaji kaedah bagi meningkatkan ketersambungan rentas sempadan untuk pejalan kaki dan penunggang basikal dan bersetuju untuk kumpulan itu mengkaji kemungkinan cadangan perkhidmatan feri baharu dari Puteri Harbour Malaysia ke Tuas di Singapura,” tambahnya.

Selain itu, JMCIM menegaskan kedua-dua negara sedang giat mengkaji cadangan Malaysia untuk menubuhkan kumpulan kerja kerjasama ekosistem makanan, seperti yang dipersetujui di mesyuarat JMCIM Ke-14 pada Disember 2021.

Kedua-dua negara berharap untuk bertemu semula pada awal tahun depan.

Mesyuarat itu dipengerusikan secara bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Negara Singapura Desmond Lee.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pengangkutan Singapura S. Iswaran.

Mesyuarat bermula dengan para menteri berbasikal sejauh kira-kira 4.2 kilometer dari Tambak Johor diikuti dengan sarapan pagi yang lazim di Johor iaitu di kedai kopitiam bagi menggambarkan hubungan rapat di antara Malaysia dan Singapura.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon