B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Fonterra yakin untuk terus melabur di Malaysia

Fonterra yakin untuk terus melabur di Malaysia

11 Ogo 2022

Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan New Zealand memberikan keyakinan berterusan kepada Fonterra untuk melabur di negara ini.

Pelaburan itu akan menyumbang kepada sumber pekerjaan bagi warga tempatan, sektor pembuatan domestik dan menyokong Malaysia untuk menjadi hab eksport semula dan hab halal bagi rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Fonterra, Miles Hurrell, berkata keyakinan itu dapat dilihat dari segi saiz perniagaan syarikat terbabit di Malaysia.

“Kami bangga menjadi pelabur terbesar New Zealand di pasaran, di mana kami telah membekalkan produk tenusu berkualiti tinggi selama hampir 50 tahun.

“Komitmen Fonterra telah membantu Malaysia menjadi pasaran eksport

tenusu keempat terbesar di New Zealand dan kini mempunyai 560 kakitangan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan sempena lawatan Menteri Ehwal Luar Negeri New Zealand, Nanaia Mahuta ke kilang nutrisi tepung Fonterra, Susumas di sini.

Fonterra memiliki dua kilang di Shah Alam iaitu Susumas yang mengeluarkan produk nutrisi tepung dan Dairymas yang mengeluarkan susu cair.

Kedua-dua kilang itu membekalkan produk untuk pasaran tempatan Malaysia bagi eksport semula dan juga menyokong pembuatan produk baharu.

Fonterra mula beroperasi di Malaysia pada 1975.

Hari ini, perniagaannya merangkumi bahagian pengguna, perkhidmatan makanan dan bahan-bahan dengan jenama terkemuka seperti Fernleaf dan Anlene yang membantu menyediakan nutrisi tenusu setiap hari bagi pengguna Malaysia.

Manakala, perniagaan perkhidmatan makanan membekalkan produk dan bekerjasama dengan lebih 10,000 kedai makanan dan minuman.

Di rantau Asia Tenggara, Malaysia adalah pasaran strategik yang penting bagi Fonterra, disokong dengan hubungan dua hala New Zealand-Malaysia yang kukuh selama lebih 60 tahun.

Sementara itu, Mahuta berkata, Fonterra adalah perniagaan terbesar negara itu di Malaysia.

“Lawatan ke kilang Susumas adalah peluang yang baik untuk melihat bagaimana produk tenusu New Zealand dihasilkan dengan selamat, berkualiti

tinggi dan mematuhi piawaian untuk dinikmati oleh pengguna di Malaysia dan seluruh rantau Asia.

“Fonterra amat mementingkan aspek kelestarian dalam penggunaan sumber semula jadi dan ini adalah amalan perniagaan penting yang digalakkan oleh kerajaan New Zealand untuk semua perniagaan New Zealand yang menjual produk mereka ke seluruh dunia”, katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon