B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia sasar raih RM300 bilion pelaburan setahun

Malaysia sasar raih RM300 bilion pelaburan setahun

06 Okt 2022

Momentum prestasi pelaburan negara dijangka kekal berterusan dengan sasaran tahunan antara RM250 bilion hingga RM300 bilion dipacu pelancaran dasar baharu berdasarkan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini melancarkan dasar pelaburan baharu itu yang bertunjangkan enam teras strategik untuk menangani cabaran ekonomi dan pelaburan yang dinamik.

Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata teras strategik pertama ialah pembentukan strategi pelaburan yang menggabungkan NIA dan Agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan kedua ialah memberi penekanan kepada pakej insentif yang tangkas dan berpandangan ke hadapan disasarkan secara langsung untuk memenuhi keperluan dan permintaan pelabur.

Beliau berkata, teras strategik ketiga pula ialah memberi tumpuan kepada pentingnya memacu Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) dengan peranan dan tanggungjawab yang jelas untuk perjalanan pelabur yang lancar.

Katanya, teras keempat ialah memajukan pemupukan pelaburan inovatif, berimpak tinggi dan berteknologi tinggi yang kondusif untuk mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan teras kelima, ialah mempunyai kumpulan bakat yang memenuhi keperluan dan permintaan pasaran pekerjaan.

“Akhir sekali, dasar baharu itu akan mempercepatkan penyelarasan ekosistem perniagaan holistik yang memudahkan perniagaan, meningkatkan daya saing dan menjamin kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dalam rantau ini,” katanya pada pelancaran dasar pelaburan baharu itu di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, Malaysia menyasarkan bidang baharu dengan memastikan pelaburan yang masuk ke negara ini tidak berintensifkan tenaga kerja asing.

Beliau berkata, pelaburan yang menjadi tumpuan adalah berteknologi tinggi dengan sasaran membabitkan tiga sektor utama ekonomi iaitu pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama.

“Pada tahun lalu, kita telah mencecah sasaran yang kita tetapkan iaitu RM394 bilion. Tahun ini, kita menjangkakan prestasi ini dan momentum ini dapat dipertahankan.

“Namun begitu, kita kena melakukan beberapa pembaharuan struktural untuk memastikan dasar kita ini terikat dengan piawaian antarabangsa dan ini dapat memperkukuhkan lagi prestasi pelaburan negara,” katanya.

Mengulas sama ada insentif pelaburan baharu diperkenalkan, Mohamed Azmin berkata, MITI sedang berunding dengan Kementerian Kewangan untuk memperkenalkan cukai yang lebih inovatif kepada pelabur.

Beliau berkata, ketika ini, MITI meninjau bidang baharu termasuk insentif khas untuk meningkatkan kemahiran dan menggalakkan pelaburan berlandaskan ESG ke Malaysia.

“Dengan insentif baharu itu, saya percaya kita kita dapat menarik pelaburan yang menerima pakai kerangka ESG dan membantu pertumbuhan ekonomi yang lebih lestari,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon