B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia, Qatar jayakan IGA tarik pelaburan

Malaysia, Qatar jayakan IGA tarik pelaburan

05 Jul 2021

Qatar, antara rakan dagang terbesar Malaysia, telah menekankan pentingnya kedua-dua negara untuk terus menjayakan Perjanjian Jaminan Pelaburan (IGA).

Menteri Perdagangan dan Industri Qatar, Ali Ahmed Al Kuwari, berkata perlindungan terhadap pelaburan yang termaktub di bawah IGA akan mendorong lebih banyak aliran masuk pelaburan bersilang antara Qatar dan Malaysia.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ali Ahmed turut mengusulkan agar pemeteraian perjanjian itu diadakan pada mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) akan datang, dengan Qatar berminat menjadi tuan rumah.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan dengan Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semasa lawatan tiga hari menteri berkenaan ke ibu kota Qatar, Doha di bawah misi perdagangan dan pelaburan yang bermula semalam.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua menteri membincangkan pelbagai perkara termasuk inisiatif kolaborasi untuk kerjasama ekonomi dua hala dan serantau bagi meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan serta pemulihan ekonomi yang mampan.

Sebagai sebahagian daripada misi perdagangan dan pelaburan, Mohamed Azmin juga akan bertemu dengan pemimpin terkemuka syarikat-syarikat Qatar dan bakal pelabur untuk meneroka lebih jauh peluang perniagaan dan kolaborasi dalam perkhidmatan runcit, keselamatan siber dan memperluas jejak Malaysia dalam industri halal global.

Pada tahun 2020, Qatar adalah rakan dagang keenam terbesar Malaysia dan sumber import ketujuh di rantau Asia Barat.

Tahun lepas, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah RM2.10 bilion, dengan eksport Malaysia ke Qatar berjumlah RM1.13 bilion dan import pula bernilai RM970 juta.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon