B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia, Qatar bekerjasama aktifkan ekonomi pasca pandemik

Malaysia, Qatar bekerjasama aktifkan ekonomi pasca pandemik

05 Jul 2021

Kerjasama Malaysia dan Qatar melalui Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) adalah untuk mengaktifkan semula ekonomi yang mampan pasca COVID-19, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini.

MITI dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kini mengetuai delegasi TIM ke Qatar selama tiga hari untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan dan juga bagi meningkatkan hubungan perdagangan serta ekonomi dua hala.

“Kerajaan Malaysia dan Qatar komited untuk meneruskan usaha dalam pengoperasian strategi melalui pertemuan Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Qatar (JTC) ketiga yang memerlukan penyertaan kukuh sektor swasta dalam dialog itu.

“Kedua-dua kerajaan akan bersama-sama menjayakan Perjanjian Jaminan Pelaburan (IGA) untuk menggalakkan lebih banyak aliran pelaburan antara Qatar dan Malaysia,” kata MITI.

Mohamed Azmin dalam kenyataan yang sama berkata, menerusi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang ditandatangani, Qatar dapat menggunakan Malaysia sebagai pusat perdagangannya di rantau ASEAN kerana Malaysia menawarkan lokasi terbaik di rantau ini kerana mempunyai hubungan kepada saiz pasaran melebihi dua bilion orang.

Mengenai pelaburan dua hala, Mohamed Azmin berkata, projek Malaysia sebagai perkara utama untuk memajukan kepentingan Malaysia berdasarkan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Promosi Pelaburan Qatar (IPAQ), yang mana kedua-dua agensi itu boleh membawanya ke peringkat selanjutnya.

Semasa pertemuan dengan Menteri Perdagangan dan Industri merangkap Pemangku Menteri Kewangan, Ali Ahmed Al Kuwari, Mohamed Azmin juga telah membincangkan pelbagai perkara termasuk keadaan pandemik COVID-19 semasa dan bagaimana cara terbaik untuk mewujudkan usaha bersama untuk pemulihan ekonomi yang mapan.

Beliau juga mengulangi kenyataan bahawa Pelan Pemulihan Negara (PPN) Malaysia, strategi untuk membawa keluar negara dari kemelut pandemik COVID-19 adalah komprehensif dan jelas.

Mohamed Azmin juga bertemu Perdana Menteri Qatar, Sheikh Khalid Khalifa Abdulaziz Al Thani untuk memulakan perbincangan mengenai Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) Malaysia yang akan mendorong dan mempertingkatkan kerjasama yang kukuh dengan Qatar.

TIM akan meneruskan pertemuan perniagaan yang disasarkan bagi mewujudkan peluang dan kerjasama baharu yang sangat penting untuk pengembangan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta, kata MITI.

Pertemuan akan diadakan dengan pemimpin terkemuka syarikat Qatar dalam perkhidmatan runcit, keselamatan siber dan bidang lain yang akan memperluaskan jejak Malaysia dalam industri halal global.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon