B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia pada landasan tepat pulih ekonomi, hubungan luar – Ismail Sabri

Malaysia pada landasan tepat pulih ekonomi, hubungan luar – Ismail Sabri

29 Mac 2022

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa Malaysia berada pada landasan yang betul bagi memulihkan semula ekonomi negara, serta hubungan dengan negara luar yang selama ini ‘agak jauh’ akibat penularan COVID-19.

Katanya, beliau sendiri telah mula melakukan lawatan ke negara ASEAN seperti Thailand, Brunei dan Singapura, untuk merapatkan semula ikatan dengan negara berkenaan, diikuti dengan negara Timur Tengah seperti Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu.

Ismail Sabri berkata, perkara ini penting bagi menarik pelaburan asing, yang akan membantu proses pemulihan ekonomi berjalan seperti yang dirancangkan.

“Kerajaan tidak mahu melihat ada gangguan dalam proses itu, yang kita anggap satu tugas besar demi menjamin kebajikan rakyat dan negara,” katanya pada Majlis Perjumpaan Keluarga Malaysia di Doha, malam tadi.

Kira-kira 200 rakyat Malaysia yang berada di Qatar hadir ke majlis itu.

Turut hadir, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh.

Turut hadir pada majlis itu, Duta Besar Malaysia ke Qatar, Zamshari Shaharan.

Dalam ucapan aluannya, Zamshari berkata, terdapat kira-kira 4,580 rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa berada di Qatar, yang kebanyakannya adalah ahli perniagaan dan golongan profesional dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan, teknikal, kejuruteraan dan juga industri minyak dan gas.

“Dengan Doha menjadi tuan rumah kepada Piala Dunia 2022 pada November, rakyat Malaysia di Doha juga boleh menjadi ‘duta’ dan ‘menteri luar’, bagi mempromosikan Malaysia dan kepelbagaian budayanya kepada dunia,” katanya.

Hari ini, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani, sebelum menghadiri majlis makan tengah hari di Amiri Diwan.

Memperkukuh kerjasama Malaysia-Qatar yang terjalin sejak sekian lama, adalah antara agenda utama dan kedua-dua pemimpin dijangka mencarta jalan ke arah kolaborasi ekonomi serta usaha pemulihan pascapandemik, selain bertukar pandangan mengenai isu antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Ini adalah lawatan rasmi pertama Ismail Sabri ke Qatar selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 Malaysia pada 21 Ogos tahun lepas. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X