Malaysia muncul hab teknologi, inovasi dinamik - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia muncul hab teknologi, inovasi dinamik

Malaysia muncul hab teknologi, inovasi dinamik

10 Jul 2023

Malaysia adalah sebuah hab dinamik dalam aspek teknologi dan inovasi berteraskan ekosistem permulaan serba mantap serta semangat keusahawanan yang memberi inspirasi, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, ini sejajar dengan usaha kerajaan yang mengiktiraf kepentingan peranan teknologi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, malah turut melaksanakan langkah penting untuk menerapkan persekitaran sewajarnya bagi tujuan pelaburan teknologi dan usahawan demi mempercepat ekonomi digital.

“Kerajaan turut memberi penekanan besar terhadap pertumbuhan ekonomi digital Malaysia yang (terbukti) meningkat dari segi sumbangannya terhadap ekonomi negara secara progresif,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Horizon – Penerbitan Ekonomi Digital 2022 Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Fahmi juga menyifatkan ekonomi digital sebagai antara teras utama ekonomi Malaysia dengan menyumbang sebanyak 23.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 dan seterusnya diunjur meningkat kepada 25.5 peratus menjelang 2025.

“Sebagai membuka laluan bagi Dekad Digital Emas di Malaysia, kerajaan turut merangka pelan strategik komprehensif yang menumpukan usaha memperkasa infrastruktur komunikasi, mengukuhkan keselamatan siber dan memacu pertumbuhan ekonomi digital secara berterusan.

“Di samping itu, kerajaan juga menyasarkan untuk memacu penglibatan ekonomi dalam kalangan semua segmen rakyat menerusi platform digital dan model perniagaan digital. Masa depan Malaysia dalam aspek digital ini adalah untuk mewujudkan ekosistem yang mendorong inovasi, menarik pelaburan dan melonjakkan negara ini ke arah masa depan yang serba makmur dan sejahtera,” katanya.

Dalam pada itu, bersandarkan slogan ‘A perspective of Malaysia’s digital economy’ (Satu perspektif ekonomi digital Malaysia), Horizon adalah penerbitan komprehensif serta strategik bagi memaparkan trend kepesatan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.

Menurut MDEC, penerbitan itu mengetengahkan pandangan dan maklumat penting berkaitan landskap digital negara dan berperanan sebagai rujukan untuk pihak berkepentingan di peringkat tempatan dan global yang berminat mendapatkan data boleh dipercayai serta perspektif yang bermaklumat.

Horizon yang tiga teras utama iaitu perniagaan, pelabur dan masyarakat, turut menyentuh topik seperti ‘Digital Economy At A Glance and Look Ahead Beyond 2023,’ (Sepintas Ekonomi Digital dan Prospek Melangkaui 2023) dengan analisis mendalam, ulasan serta pandangan berasaskan data yang merungkai kerumitan dan aliran ekonomi digital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz berkata hasil dapatan Akaun Satelit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICTSA) Jabatan Perangkaan yang dikeluarkan pada Oktober 2022, menunjukkan biarpun KDNK Malaysia susut 10.2 peratus pada 2020, nilai tambah kasar sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebaliknya mencatat pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 10.5 peratus.

“Pertumbuhan pekerjaan dalam sektor ICT terus meningkat ketara sejak 2021 dan mengatasi sektor lain yang merekodkan kadar pertumbuhan negatif atau hampir negatif. Pada 2021 sahaja, sektor ICT menyumbang dengan mewujudkan 44 peratus daripada jumlah pekerjaan baharu di Malaysia.

“Masa depan ekonomi digital jelas lebih menjaminkan berbanding sebelum ini dan Malaysia berada di landasan tepat bagi masa depan digital yang makmur,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa MDEC kekal komited dalam menawarkan sokongan menyeluruh kepada kalangan syarikat tempatan dan antarabangsa selain menitikberatkan program peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi memperkasa tenaga kerja digital negara.

“Menerusi inisiatif seperti Malaysia Digital (MD), kita berhasrat mewujudkan ekosistem digital yang memupuk aspek inovasi, memperkasa perniagaan dan membolehkan penyertaan digital.

“Malah, kita telah mengenal pasti sembilan sektor di bawah Program Pemangkin MD yang mempunyai potensi, peluang serta kepentingan pertumbuhan tinggi dalam melonjakkan ekonomi digital Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon