B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia mampu jadi negara pendapatan tinggi seawal 2026

Malaysia mampu jadi negara pendapatan tinggi seawal 2026

15 Feb 2023

Malaysia berupaya untuk mencapai negara berpendapatan tinggi seawal 2026 jika pertumbuhan ekonomi tahunan negara kekal berkembang sekitar antara empat hingga lima peratus.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata mencapai status negara berpendapatan tinggi bergantung kepada dua perkara iaitu pertumbuhan ekonomi dan kadar tukaran asing.

Beliau berkata, jika ekonomi negara kekal berkembang sekitar empat hingga lima peratus, negara akan berada dalam landasan baik mencapai status negara berpendapatan tinggi seawal 2026.

Malah, katanya, jika pertumbuhan lebih bagus lagi iaitu melepasi lima peratus, negara boleh mencapai status itu dalam tempoh dua tahun.

“Faktor kedua adalah tukaran asing memandangkan paras negara berpendapatan tinggi adalah dalam dolar iaitu AS$15,200. Kalau mata wang lebih kukuh, sudah tentu lebih awal boleh capai.

“Insya-Allah, kalau terus begini (ekonomi berkembang empat hingga lima peratus), Malaysia akan capai negara berpendapatan tinggi pada penggal ini (Kerajaan Perpaduan),” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi Malaysia di sini, hari ini.

Mengenai prestasi ekonomi 2022, Rafizi berkata, Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan sebanyak 8.7 peratus pada 2022, yang mana prestasi ekonomi itu adalah memberangsangkan dan mencerminkan daya tahan ekonomi negara.

Namun, beliau berkata, pertumbuhan tahunan yang baik itu perlu dilihat bersama dengan pertumbuhan sukuan dari suku pertama 2022 hingga suku keempat 2022 untuk memberi gambaran penuh prestasi ekonomi negara.

“Suasana ekonomi global yang dijangka menyederhana dan tumbuh pada kadar yang lebih perlahan dalam tahun 2023 akan mempengaruhi prestasi ekonomi negara.

“Pertumbuhan ekonomi dunia dijangka lebih perlahan pada kadar 2.9 peratus dalam tahun 2023 berbanding 3.4 peratus dalam tahun 2022,” katanya.

Rafizi berkata, dalam keadaan pertumbuhan ekonomi global yang dijangka lebih perlahan dalam tahun ini dan pertumbuhan sukuan yang perlahan selama empat suku berturut-turut dalam tahun 2022, kerajaan sedar keperluan untuk bersiap sedia menghadapi suasana ekonomi yang lebih mencabar.

Beliau berkata, program ekonomi yang memberi fokus kepada dua perkara pokok ekonomi rakyat, iaitu kos sara hidup dan pendapatan, akan diberi tumpuan utama dalam perancangan ekonomi.

“Kementerian Ekonomi akan melancarkan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang bertujuan menambah pendapatan rakyat pada 26 Februari 2023. Sasaran pertama IPR adalah golongan miskin tegar dan keluarga B40 di seluruh negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon