B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia kekal sebagai lokasi pelaburan kompetitif bagi syarikat Jerman – Duta

Malaysia kekal sebagai lokasi pelaburan kompetitif bagi syarikat Jerman – Duta

08 Jan 2021

Duta Besar Jerman ke Malaysia yang baru dilantik, Dr Peter Blomeyer, mengekalkan sokongannya kepada kesinambungan perniagaan syarikat Jerman yang sedia ada di negara ini dan akan menggalakkan lebih banyak syarikat Jerman untuk mengembangkan operasi mereka di luar negara di sini.

Blomeyer, yang membuat kunjungan hormat ke Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), berkata Malaysia antara negara pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan paling maju dan matang di rantau ini.

Ekosistem ini memberikan kelebihan daya saing kepada syarikat Jerman untuk menempatkan projek mereka di Malaysia, beliau dipetik sebagai berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh MIDA hari ini.

Menurut Blomeyer, syarikat Jerman sedia ada yang beroperasi di sini melihat Malaysia sebagai hab yang menarik di Asia Pasifik.

Selain itu, katanya komuniti perniagaan Jerman menyambut baik keputusan mengecualikan keperluan pengiklanan untuk kedudukan, iaitu pelabur, pemilik syarikat, C-suite, ekspatriat untuk pejabat serantau dan pemindahan antara syarikat.

Blomeyer turut menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama dengan institusi latihan tempatan dalam meningkatkan keupayaan latihan dan kemudahan mereka dalam pembangunan modal insan dengan menawarkan program German Dual Vocational Training (GDVT) di Malaysia.

Jerman merupakan pelabur asing terbesar Malaysia dari Kesatuan Eropah.

Sehingga Jun 2020, sebanyak 461 projek pembuatan dengan penyertaan Jerman telah dilaksanakan dengan jumlah pelaburan sebanyak US$9.36 bilion (RM33.31 bilion).

Projek tersebut telah mewujudkan 47,277 pekerjaan.

Pengerusi MIDA Datuk Abdul Majid Ahmad Khan berkata beliau dan Blomeyer telah berbincang mengenai pelbagai perkara yang memerlukan perhatian daripada kedua-dua negara untuk meneruskan pergerakan barangan kepada pengguna walaupun terdapat kebimbangan mengenai pandemik.

“Komuniti perniagaan dari kedua-dua pihak perlu segera mengambil langkah dengan penerimaan kepada  prosedur operasi standard yang ketat.

“MIDA telah bekerjasama dengan kedutaan dan dewan perniagaan asing untuk memastikan pelabur mendapat bantuan kepada kelulusan dan akses yang diperlukan bagi membuat keputusan pelaburan dan perniagaan yang baik dalam pelbagai pasaran,” katanya.

Abdul Majid turut memberi taklimat kepada Blomeyer mengenai pelan MIDA untuk mengadakan misi perdagangan dan pelaburan serta lawatan kerja ke Eropah, termasuk Jerman, selepas kawalan sempadan dibuka kepada pelancong perniagaan.

Beliau turut menyatakan komitmen kerajaan untuk memudahkan kelancaran operasi perniagaan, termasuk pelaburan Jerman di Malaysia.

Beliau berkata komitmen yang kukuh daripada kedua-dua institusi penting untuk menarik pelaburan yang berkualiti untuk projek dengan nilai tambah tinggi, berteraskan modal dan berpaksikan kepada pengetahuan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon